Suruhanjaya Komunikasi dan Media (MCMC) menerbitkan laporan Rundingan Awam berhubung Draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet serta Penyedia Perkhidmatan Media Sosial, hari ini.
Menerusi kenyataan pada Rabu, MCMC berkata ia bertujuan mendapatkan pandangan bagi menambah baik serta memperhalusi draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) sebelum penerbitannya digunakan sebagai amalan terbaik industri menjelang 1 Januari 2025.
Menurut MCMC, ia juga bagi memupuk persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia, di samping memberi fokus spesifik kepada perlindungan kanak-kanak dan golongan rentan.
Dalam pada itu, MCMC sudah meneliti serta mempertimbangkan maklum balas untuk menambah baik draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik).
Sehubungan itu, MCMC menghargai pandangan, maklum balas serta komitmen yang diberikan semua pihak dalam memastikan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) praktikal, fleksibel dan jelas.
“Sumbangan ini penting untuk menyokong usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan terjamin.
“Walaupun versi akhir Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) akan diterbitkan dalam masa terdekat, laporan rundingan awam yang kini tersedia memberikan gambaran keseluruhan tentang maklum balas yang diterima,” menurut MCMC.
Pada 22 Oktober, MCMC memaklumkan bakal memulakan rundingan awam tersebut bagi mendapatkan input dan maklum balas daripada penyedia perkhidmatan, orang awam, pemain industri dan pihak berkepentingan.
Rundingan awam itu dilaksanakan susulan pengenalan Kerangka Pelesenan bagi Perkhidmatan Pesanan Internet serta Media Sosial yang diwartakan pada 1 Ogos lalu dan akan berkuat kuasa bermula 1 Januari depan.
Laporan penuh mengenai rundingan awam ini boleh dilayari menerusi pautan:
-18/12/2024