Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada Khamis menjadi tumpuan bila buat keputusan keatas 12 tuduhan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap Datin Seri Rosmah Mansor.
Isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu boleh menarik nafas lega bila Hakim K Muniandy membenarkan permohonan beliau untuk membatalkan semua tuduhan terhadapnya.
Ini bermakna beliau lepas dan dibebaskan dalam kes berkenaan.
Hakim berkenaan membuat keputusan itu atas alasan tuduhan tanpa asas dan pendakwaan tidak mengemukakan unsur kesalahan dalam tuduhan yang dikenakan.
Rosmah, 73, memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan berkenaan pada September 2023, dan perbicaraan dimulakan pada 12 Disember tahun lalu, selepas sebahagian kes didengar dengan keterangan daripada dua saksi.
Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, Rosmah didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama.
Bagi pertuduhan berkaitan LHDN, Rosmah didakwa gagal mengemukakan penyata pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri pada atau sebelum 30 April 2014 hingga 2018.
Tertuduh didakwa gagal melakukannya seperti mana yang diperuntukkan oleh Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 dengan tiada sebab munasabah yang bertentangan dengan Seksyen 112 akta sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.
Ketika membacakan keputusannya, Hakim Muniandy berkata, mahkamah membenarkan permohonan tertuduh untuk membatalkan pertuduhan terhadapnya.
“Perintah berdasarkan permohonan dibenarkan dan kesemua 17 pertuduhan terhadap tertuduh dibatalkan.
“Oleh itu, berdasarkan premis kes yang dimaksudkan, mahkamah ini juga melepaskan dan membebaskan tertuduh daripada semua 17 pertuduhan terhadapnya,” katanya.
Selain kes ini Rosmah masih menghadapi prosiding rayuan terhadap keputusan Hakim Mohamed Zaini Mazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) pada 1 September 2022 yang menjatuhinya hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.
Rosmah memfailkan rayuan untuk meminta hakim perbicaraan, Zaini Mazlan, menarik diri daripada mendengar kes tersebut, dengan mendakwa bahawa terdapat pihak ketiga menyediakan draf penghakiman untuknya.
Mahkamah Rayuan akan mendengar perkara berkaitan hakim itu pada 5 Mac tahun depan. Jika permohonan itu tidak diluluskan, mahkamah akan meneliti merit rayuan dan hukuman Rosmah pada 19 Mac. – 19/12/2024