Sunday - 22, December 2024

Bandar pintar Ipoh… gabung kepakaran MCMC dan DPCH

Share

Program bandar pintar yang bakal memberi manfaat kepada penduduk Perak khususnya di Ipoh sedang dirancang dengan kerjasama antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Digital Perak Corporation Holdings (DPCH).

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerjasama tersebut merupakan permulaan yang positif kepada usaha pemerkasaan program bandar pintar yang bakal memberi manfaat kepada penduduk Ipoh.

“Kerjasama strategik ini bermatlamat untuk mengukuhkan hubungan antara MCMC dan DPCH dalam usaha mempertingkatkan infrastruktur digital, pemerkasaan pendidikan digital, serta penyediaan kemudahan komuniti pintar dan hijau,” katanya dalam ucapan semasa majlis menandatangani MoU tersebut pada Perak Economic Outlook 2025 di Ipoh pada Khamis.

Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangi oleh Ketua Pegawai Eksekutif MCMC Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif DPCH, Suhaimi Tahir disaksikan Fahmi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sementara itu Fahmi berkata di bawah MoU tersebut, liputan internet di Perak akan dipertingkatkan untuk menyokong Pelan Perak Sejahtera 2030 dalam penyediaan pelan infrastruktur komunikasi di lokasi pembangunan yang telah dipersetujui.

Di samping itu, katanya MCMC juga akan menawarkan khidmat nasihat teknikal kepada DPCH yang berkaitan dengan infrastruktur digital, jaringan, liputan, keselamatan siber dan pencegahan penipuan dalam talian.

Fahmi juga berkata di bawah MoU ini, turut dilaksanakan penerokaan kerjasama berkaitan e-dagang serta latihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Perak yang menyasarkan pembabitan komuniti setempat di kawasan NADI.

“Ternyata, inisiatif-inisiatif yang saya sebutkan tadi amat penting untuk menjadika bandar raya Ipoh sebuah bandar raya yang bukan sahaja efisien dan inovatif, malah juga lestari.

“Kerjasama antara MCMC dengan DPCH adalah bukti bahawa pendekatan kolaboratif adalah langkah terbaik untuk memacu inisiatif ini,” katanya.-19/12/2024

Read more

khabar terbaru