Sunday - 22, December 2024

“Internet laju, penjenayah pun lagi laju…” – MCMC diminta sentiasa beri penerangan terkini

Share

Orang ramai diminta berwaspada dengan ancaman jenayah siber dalam keghairahan menggunakan internet yang kian berkelajuan tinggi.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata zaman ini internet laju tetapi penjenayah yang mengambil kesempatan juga ‘laju buat kerja’.

“Jadi untuk elak dari jadi mangsa scam, penipuan dalam talian dan jenayah lain, saya minta supaya MCMC segera dan sentiasa melakukan sesi taklimat serta penerangan.

“Kalau boleh, saya nak Tok Batin sentiasa mendapat kemas kini supaya boleh disampaikan kepada komuniti tentang cara scam yang terkini sebab apabila kita tutup satu laluan, dia dapat masuk ikut pintu lain. Apabila kita dah beritahu cara ini dia menipu, dia cuba cara lain,” katanya semasa melawat Kampung Orang Asli Sungai Tonggang di Hulu Kinta di Perak Khamis.

Sebelum ini, kampung itu menerima perkhidmatan Internet satelit Starlink yang dipasang di dewan orang ramai untuk memberikan perkhidmatan digital kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Kampung Orang Asli Sungai Tonggang dipilih sebagai lokasi pertama pelaksanaan projek rintis kempen advokasi oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam usaha memperkasa komuniti Orang Asli.

Menurutnya projek perintis di kampung itu, yang akan berlangsung selama tiga bulan, melibatkan program kesedaran, keselamatan digital untuk murid dan pelajar antara tujuh hingga 17 tahun dengan enam sesi pembelajaran di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berhampiran.

“Tiga sesi taklimat juga disediakan untuk ibu bapa dan guru, saya mohon ditambah dengan beberapa program bersama dengan pempengaruh dimanfaatkan dengan lebih baik

“Selain itu, kita tegaskan dengan aspek-aspek pembangunan ekonomi, saya percaya produk-produk yang ada boleh diuar-uarkan,” katanya.

Fahmi berkata beliau menghargai usaha dan bantuan kesemua rakan strategik seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis Diraja Malaysia, Pos Malaysia, Sekretariat Wanita Perak dan Sekretariat Usahawan Negeri Perak dalam menyayakan program itu.

Beliau berkata murid dan pelajar pada masa ini yang berada di zaman digital diharap dapat memanfaatkan Internet dengan baik.

“Bukan semua yang kita tengok dalam Internet ini perlu kita tiru, ada yang boleh menjadi teladan, ada yang perlu menjadi batasan ataupun sempadan.

“Ada sesetengah benda wajar kita manfaatkan contohnya untuk belajar Matematik dan Sains, perkara-perkara macam ini manfaatkan, yang lain itu kurangkan,” katanya.-20/12/2024

Read more

khabar terbaru