Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC) mengesan kira-kira 43,000 akaun bank yang digunakan sebagai akaun keldai bagi tujuan penipuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata akaun keldai tersebut dikesan untuk diambil tindakan oleh institusi kewangan bagi menghalang pelapisan wang secara berbilang (multiple layering) untuk menyembunyikan dana haram.
“NSRC turut menerima 64,000 panggilan berkenaan laporan kes-kes daripada mangsa penipuan dan khidmat nasihat daripada orang ramai.
“Berdasarkan statistik yang dikemukakan, sekitar 22,000 laporan kes-kes penipuan telah dilaporkan oleh mangsa membabitkan kerugian lebih RM147 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Senator Manolan Mohamad di Dewan Rakyat yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah kes penipuan yang dapat dikesan dan disekat dengan penubuhan Portal Fraud Kebangsaan (NFP) di Dewan Negara, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata tindakan pantas dalam menguruskan laporan penipuan serta pengesanan jejak dana yang dicuri berjaya dilakukan selepas penubuhan NFP.
Mengulas lanjut, beliau berkata NFP ditubuhkan bagi melengkapi NSRC dengan keupayaan automasi menyeluruh (‘end-to-end’), di samping membantu NSRC dalam proses penjejakan dan pembekuan dana.
Tambah beliau, NFP berjaya mengurangkan tempoh masa diambil untuk menjejaki dana sebanyak 75 peratus dan meningkatkan jumlah dana dibekukan sejak mula digunakan pada April sehingga September tahun ini.
“Setakat ini, katanya keupayaan institusi kewangan untuk mengenal pasti akaun keldai meningkat sebanyak 37 peratus ketimbang purata bulanan sebelum pelaksanaan NFP,” katanya.
Selain itu, Anwar memaklumkan gerak kerja sedang dilakukan bagi pemanjangan masa operasi pusat respons serta perancangan berkaitan pengukuhan operasi NSRC.
“Ini termasuklah sumber tenaga kerja petugas di NSRC yang bukan sahaja terhad dalam kalangan penjawat awam seperti pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Bank Negara Malaysia (BNM), tetapi juga pegawai daripada institusi kewangan dan industri telekomunikasi,” katanya.- 19/12/2024