Monopoli dan kartel dikenal pasti sebagai antara faktor utama di sebalik peningkatan kos sara hidup yang terus membebankan rakyat Malaysia, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Menurut laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi Parlimen (JKPKKE), langkah-langkah seperti jualan berkala barangan keperluan untuk kumpulan berpendapatan rendah hanya memberikan kelegaan sementara dan bukan penyelesaian jangka panjang.
“Walaupun Malaysia dianggap sebagai negara dengan kos sara hidup yang rendah, pendapatan per kapita yang masih rendah menjadi masalah utama,” ujar laporan itu.
Tambahan pula, Bank Negara Malaysia menganggarkan gaji sara hidup di Lembah Klang sebanyak RM2,700 pada 2018, jauh lebih tinggi daripada gaji minimum RM1,700 yang dicadangkan untuk semakan tahunan.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali menjelaskan, ketidakseimbangan antara pendapatan dan harga barang menjadi punca sebenar tekanan ekonomi rakyat.
“Matlamatnya bukan sekadar menurunkan harga tetapi memastikan pendapatan rakyat mampu menampung perbelanjaan harian. Menurunkan harga tanpa meningkatkan pendapatan hanya menyelesaikan masalah untuk sementara,” katanya dipetik dari The Star.
JKPKKE turut mencadangkan penubuhan Coop Mart di setiap kawasan Parlimen sebagai langkah jangka panjang untuk menstabilkan kos sara hidup melalui gerakan koperasi.
Mereka juga menekankan keperluan mengekalkan kadar inflasi dalam julat 2 hingga 3.5 peratus sebagai usaha tambahan untuk mengurangkan beban ekonomi rakyat.-20/12/2024