
KKM perkenal portal khas lapor kesalahan merokok…
Dalam usaha menjadikan Malaysia bebas daripada amalan merokok menjelang tahun 2040, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) secara rasmi melancarkan portal JomLapor.
Portal ini dirancang untuk memudahkan orang awam membuat aduan mengenai pelanggaran peraturan merokok di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Portal JomLapor membolehkan pengguna menghantar aduan dengan menyertakan bukti bergambar serta perincian lokasi kejadian.
Langkah ini memastikan privasi pengadu dilindungi, tanpa mendedahkan identiti mereka kepada pihak yang terlibat.
Selain memfokuskan kepada pelanggaran amalan merokok di kawasan awam, portal ini turut menerima laporan mengenai kesalahan seperti penjualan rokok yang tidak sah.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya mengeluarkan 5,642 notis dengan jumlah denda RM1.37 juta bagi kesalahan berkaitan merokok antara 1 Okt dan 17 Dis.
Menurutnya penguatkuasaan dijalankan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), yang berkuat kuasa 1 Okt lepas.
“Kesalahan itu termasuk 5,271 notis merokok di kawasan larangan di bawah Seksyen 16(2), 193 notis untuk kanak-kanak bawah umur merokok atau menggunakan produk merokok di bawah Seksyen 17(1), dan 26 notis bagi pemilik premis di bawah Seksyen 18(1),” katanya.
Dengan pelaksanaan portal ini, KKM berharap dapat memperkasakan masyarakat untuk memainkan peranan aktif dalam memastikan persekitaran yang lebih sihat dan bebas rokok.
Pelancaran JomLapor adalah antara langkah strategik dalam pelan jangka panjang KKM untuk mengurangkan risiko kesihatan awam akibat tabiat merokok, selaras dengan sasaran negara untuk mencapai status bebas rokok menjelang dua dekad akan datang.
“Portal yang dilancarkan pada Selasa sudah menerima 135 aduan. Platform ini akan membantu memperkukuh penguatkuasaan dan membanteras pelanggaran dengan lebih berkesan,” katanya.
Portal ini dibangunkan dengan kerjasama NGO dan badan profesional untuk meningkatkan usaha penguatkuasaan.
“Inisiatif itu mencerminkan pendekatan ‘keseluruhan masyarakat’ dan menonjolkan komitmen kerajaan untuk menangani isu berkaitan rokok secara menyeluruh,” katanya.
Baru-baru ini, gambar Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan memegang rokok sambil duduk bersama sekumpulan orang di sebuah kedai makan telah menjadi viral, dengan ramai yang menggesa pihak berkuasa untuk bertindak atas kesalahannya.
Pada Khamis, Dzulkefly berkata Mohamad akan dikenakan kompaun kerana merokok dalam zon larangan merokok di sebuah restoran di kampung halamannya.-20/12/2024