Sunday - 22, December 2024

Kerajaan tidak campur tangan keputusan mahkamah bebas Rosmah

Share

Kerajaan tidak campur tangan dalam keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membebaskan Datin Seri Rosmah Mansor daripada 12 tuduhan pengubahan wang haram dan lima kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Khamis lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak perlu menghormati keputusan institusi kehakiman negara ini dengan tidak menjadikannya sebagai satu kontroversi.

Tegas beliau, dakwaan berhubung pentadbiran Kerajaan MADANI sama seperti pentadbiran terdahulu, yang didakwa perdana menteri boleh memanggil hakim dan memberi arahan adalah tidak munasabah.

“Saya tidak menemui mana-mana hakim, saya tidak bicara dengan Ketua Hakim Negara dalam soal keputusan mahkamah.

“Kita hormati keputusan mahkamah. Kalau Peguam Negara merasakan perlu membuat rayuan, itu keputusan Peguam Negara. Tapi saya tidak fikir perkara ini perlu jadi kontroversi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan buku Lim Kit Siang: Malaysian First Jilid 1 & 2 di Ipoh pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang; Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan pengarang buku, Kee Thuan Chey.

Terdahulu, pada Khamis, Rosmah dilepaskan dan dibebaskan atas 12 kes AMLA mencecah lebih RM7 juta dan lima kes berkaitan LHDN.

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.

Hari ini, pihak pendakwaan mengesahkan notis rayuan difailkan terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi itu untuk diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa dilaporkan pmeminta semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Tinggi yang membebas dan melepaskan Rosmah pada Khamis.

“Saya ingin mengucapkan syukur Datin Seri Rosmah Mansor dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan, pengubahan wang haram dan juga pertuduhan untuk tidak mengisytihar harta.

“Apabila beliau (Rosmah) dilepaskan dan dibebaskan ertinya kita harus menghormati keputusan institusi kehakiman yang telah memihak kepada Datin Seri Rosmah.

“Dan saya harap tidak ada pihak yang mempertikaikan tentang keputusan mahkamah,” katanya.- 20/12/2024

Read more

khabar terbaru