Gambar diatas ialah imbas kembali Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin berpeluk diatas pentas tanda damai selepas isu beliau letak jawatan
sebagai Bendahari UMNO Selangor pada 1 April 2024.
Majlis pada 4 Ogos 2024 itu ialah perasmian mesyuarat UMNO bahagian Kota Raja dekat Klang oleh Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi.
Ketua UMNO Bahagian Kota Raja ialah Tengku Zafrul.
Detik itu ada sejarahnya yang tersendiri.Peluk cium atas pentas itu berlangsung lebih sebulan selepas beliau letak jawatan Bendahari UMNO Selangor.
Isu ini ada kaitan langsung dengan Megat yakni anak Allahyarham Mahaguru Omar Din yang juga Ketua UMNO Bahagian Gombak.
Tengku Zafrul beri sebab ambil keputusan itu kerana tidak puashati dengan prestasi UMNO Selangor yang dakwanya lembab dan tidak bangkit selepas kalah teruk dalam pilihanraya negeri pada 2023.
Jangan lupa Megat juga ialah Setiausaha Politik kepada Zahid di pejabat Timbalan Perdana Menteri.
Maka tempias isu itu pasti menjalar juga terhadap Zahid.
UMNO Selangor kini tinggal dua kerusi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sahaja dari 56 kerusi yang ada.
Bekas CEO Cimb Bank itu anggap beliau tidak dapat berperanan dalam situasi UMNO Negeri yang lembab itu.
Cuba bayangkan kesan politik dakwaan Tengku Zafrul pada imej Megat selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor.
Dakwaan Tengku Zafrul ini terus mengundang reaksi kalangan pimpinan UMNO Selangor yang mempertahankan Megat.
Peluk cium atas pentas disaksikan sendiri oleh bos besar mereka Zahid membuatkan ramai yang menduga segalanya sudah beres.
Suasana tenang berterusan cuma lebih lapan bulan sahaja bila tiba tiba baru baru ini berlegar spekulasi Tengku Zafrul nak keluar UMNO untuk masuk PKR.
Dari dugaan awal ia mungkin hanya khabar angin…terus meletup jadi bertambah hangat bila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sahkan ada perbincangan awal Tengku Zafrul nak masuk PKR.
Tengku Zafrul kemudian muncul memberi ulasan menerusi media sosial.
Katanya beliau belum membuat sebarang keputusan mengenai langkah itu.
Beliau memberi alasan masih kecewa dengan prestasi UMNO Selangor.
Juga dakwanya adanya tindak tanduk tidak sihat seperti cah keting yakni cantas mencantas dalam UMNO Negeri dan hal berkaitan.
Katanya beliau ingin beri khidmat kepada rakyat tanpa perlu hadapi politiking yang remeh ini.
Maka timbul reaksi dari pelbagai kalangan dalam UMNO, PKR dan lain lain.
Perdebatan hangat mengenainya kalangan netizen juga berlegar di laman tik tok,facebook,instagram dan laman X.
Bukan sahaja Zahid malah Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajidi Dasuki dan Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Akmal Saleh menentang sebarang langkah ‘lompat parti’ di kalangan anggota parti gabungan kerajaan perpaduan.
Angkatan Pemuda Keadilan (AMK) yakni sayap PKR juga menolak perbuatan itu.
“Sesungguhnya perbuatan Tengku Zafrul yang memulakan perbincangan untuk menyertai PKR sehingga menggugat hubungan baik di dalam Kerajaan Madani Selangor boleh dianggap sebagai biadab.
“Bagaimana beliau yang masih merupakan Ahli MKT UMNO tergamak untuk memulakan perbincangan untuk menukar parti politik tanpa meletak jawatan terlebih dahulu? kata Pengarah Komunikasinya, Mohd Fauzi Fadzil.
Dicelah kehangatan ini Megat nampaknya mengambil sikap membisu.
Setelah beberapa hari berlalu dan keadaan nampak sejuk sikit Megat tampil mengulas isu berkenaan dalam wawancara bersama portal berita, Malaysia Gazzete yang disiarkan secara langsung,Khamis malam.
Melaluinya beliau menafikan samasekali UMNO Selangor bawah pimpinannya cuba meminggirkan Tengku Zafrul.
Megat mengakui beliau melihat Tengku Zafrul itu seorang figura yang mampu memainkan peranan menaikkan semula UMNO, bukan hanya di peringkat pusat tetapi juga di Negeri Selangor.
Untuk menolak dakwaan ada usaha cantas Tengku Zafrul…Megat tunjuk bukti termasuk beberapa mesej yang tersimpan di telefon bimbitnya antara mereka.
Pada mesej berkenaan jelas Megat ada berbincang dengan Tengku Zafrul mengenai usaha memastikan beliau jadi calon pada pilihanraya umum ke 15 November 2022 dan juga semasa pilihanraya negeri 2023.
Katanya, pada PRN-15 UMNO bercadang mencalonkan Tengku Zafrul bagi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram kerana kaji selidik menunjukkan ia kawasan putih dan mudah dimenangi.
“Saya fikir Jeram tempat yang berpotensi untuk beliau (Tengku Zafrul) menang.. Bayangkan jika bertanding satu lawan satu kerana Pakatan Harapan (PH) tidak bertanding, beliau tentu boleh menang,” katanya.
Selain dari itu ada kerusi DUN Dusun Tua di kawasan Hulu Langat dimana beliau turut boleh bertanding.
Namun menurutnya Tengku Zafrul sendiri memutuskan untuk tidak bertanding setelah berbincang dengan seseorang (yang beliau tidak mahu sebut nama).
Tengku Zafrul bertanding di kerusi Parlimen Kuala Selangor pada pilihanraya umum ke 15 dimana beliau tewas tipis 1002 undi ditangan calon PH-Amanah Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Megat mengingatkan ia juga berjaya dilakukan atas dokongan UMNO Selangor.
Sedangkan,katanya UMNO Bahagian Kuala Selangor asalnya rasa kurang senang kerana sebelum pilihanraya itu Tengku Zafrul telah adakan beberapa program dalam kawasan itu tanpa ‘beri salam’ ( atau merujuk dan berbincang dengan UMNO Bahagian Kuala Selangor dulu).
Megat merasa terkilan kerana dapat khabar Tengku Zafrul telah mengadu kepada beberapa pemimpin UMNO dakwa UMNO Selangor cuba sekat kemajuan karier politiknya.
Katanya beliau terkejut mereka merujuk hal berkenaan kepadanya sedangkana hakikatnya UMNO Selangor sentiasa mendokong Tengku Zafrul.
Beliau kata Tengku Zafrul belum lagi mahir dalam dunia politik dan tidak boleh anggap politik ini sama seperti dunia koprat.
Apapun beliau merasa agak keterlaluan Tengku Zafrul terus memainkan sentimen ‘play victim’ yakni menjadi mangsa keadaan sedangkan perkara itu tidak benar.
Ditanya apa tindakan UMNO akan diambil terhadap Tengku Zafrul kerana ada buat perbincangan nak masuk PKR….Megat kata hal berkenaan tidak timbul lagi kerana beliau sudah nyatakan setakat ini belum buat sebarang keputusan.
Jadi katanya buat masa ini beliau anggap Tengku Zafrul masih dalam UMNO.
Megat kata buat masa ini langkah Tengku Zafrul tidaklah memporak perandakan hubungan dalam kerajaan perpaduan.
Katanya hubungan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dan Zahid masih utuh.
Begitu juga hubungan dirinya sendiri dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shaari tetap baik.
“Sekarang ini business usual’,” kata Megat. – 20/12/2024