Kalangan pesara mendapat khabar gembira dari Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.
Beliau umum pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) bagi mana-mana pesara dan penerima pencen terbitan akan diteruskan.
Katanya ketetapan itu dibuat melalui keputusan Jemaah Menteri pada Jumaat, semalam.
Anwar menjelaskan langkah itu adalah inisiatif Kerajaan MADANI selaras dengan konsep Ihsan bagi menjaga kebajikan para pesara.
“Sebagai komitmen bagi menjaga kebajikan pesara dan penerima pencen terbitan, kerajaan melalui keputusan Jemaah Menteri pada 20 Disember, bersetuju untuk meneruskan pemberian PKKP bagi mana-mana pesara dan penerima pencen terbitan yang menikmati PKKP.
“Ia bagi memastikan mereka menerima amaun yang lebih tinggi untuk menjaga kebajikan pesara dalam menangani kos sara hidup masa kini,” katanya pada sidang media di Subang jaya.
Tahun lalu, kerajaan mengumumkan bantuan PKKP diteruskan untuk tempoh Januari hingga Disember ini kepada pesara dan penerima pencen terbitan yang terkesan.
Pemberian PKKP ini adalah kesinambungan daripada bantuan yang mula diberikan pada Julai 2023.
Perdana Menteri berkata, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang berkuat kuasa 1 Disember lalu turut membabitkan penyelarasan pencen kepada pesara dan penerima pencen terbitan berdasarkan semakan gaji perkhidmatan awam selaras dengan seksyen 3, Akta Penyelarasan Pencen 1980 (Akta 238).
Katanya, jumlah pencen akan diselaraskan berdasarkan peratusan pelarasan gaji ke atas gaji akhir pesara mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing secara berfasa pada 1 Disember 2024 dan 1 Januari 2025.- 21/12/2024