Sunday - 22, December 2024

“Kalau ada pilihan raya umum sekarang, saya lebih yakin menang” – PM

Share

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan satu sidang akhbar khas bersama sekitar 100 wartawan dalam dan luar negara di dewan sebuah hotel di Subang Jaya,Selangor pada Sabtu.

Di situ beliau telah menjawab pelbagai soalan termasuk berkaitan dasar dan hala tuju negara serta prestasi kerajaan perpaduan pimpinannya.

Sejak mengemudi kerajaan gabungan sebilangan parti dipelopori oleh Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) selepas pilihanraya umum ke 15 pada November 2022 antara tandatanya menarik yang berlegar ialah apakah
beliau yakin dapat kembali berkuasa pada pilihanraya umum ke 16 nanti.

Anwar secara terbuka menyuarakan keyakinan gabungan mereka boleh menang.

Beliau melahirkan keyakinan itu berdasar kepada kerangka pentadbirannya yang mementingkan aspek pengurusan ekonomi bagi membantu rakyat.

“Kalau ada pilihan raya umum sekarang, saya lebih yakin menang…dengan sokongan penjawat awam yang kita sudah bantu dalam aspek kenaikan gaji.

“Ia memerlukan usaha yang tinggi untuk meletakkan agenda ekonomi pada situasi sekarang,” katanya.

Perdana Menteri berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh kesemua menteri Kabinet setakat dua tahun pentadbiran.

Namun begitu menurutnya masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki oleh kerajaan dalam meningkatkan lagi pencapaiannya kepada rakyat.

Anwar berkata, dalam tempoh berkenaan, beliau melihat ada menteri yang telah mempamerkan prestasi cemerlang malah ada juga yang menunjukkan prestasi sederhana.

Katanya, pentadbiran Kerajaan MADANI tidak mengizinkan amalan lama berlaku terutama rundingan terus projek ataupun ‘kecurian’ komisen.

“Tapi saya puas hati satu perkara, walaupun orang bangkit soal rasuah, kes ini, kes itu, yang penting sejak dua tahun ini saya tak izinkan amalan lama rundingan terus, curi komisen…itu saya hentikan,” katanya.

“Adakah saya berpuas hati? Saya cuba sedaya upaya tetapi masih ada ruang untuk diperbaiki. Apakah saya berpuas hari dengan menteri? Ada yang cemerlang ada yang sederhana, sama juga dengan Perdana Menteri,” katanya

Namun beliau bertegas tidak akan berkompromi dengan sebarang salah guna kuasa dalam kalangan menterinya.

“Ia bukan sahaja soal menteri namun juga pegawai dan ke bawah, soal tatakelola dan pengurusan yang cermat ada kes lama yang boleh diselesaikan dan ada sebahagian belum selesai.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, turut menegaskan bahawa kerajaan pimpinannya amat menitikberatkan agenda tatakelola yang baik.

“Orang tak mahu dengar isu tatakelola, tapi bagi saya ini masalah terbesar. Bagi saya tatatekola ini paling penting sebab kebocoran, rasuah, hilang dana puluh-puluh bilion bayar hutang yang tidak sepatutnya kita bayar,” kata beliau.

Menjawab isu penilaian yang dibuat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) terhadap Kerajaan Madani sebelum ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan terbuka dalam menerima pandangan, namun berpandangan penilaian prestasi yang dilakukan oleh NGO berkenaan adalah terhad.

Mengambil contoh penilaian dibuat Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Anwar berkata, ia tidak mengambil kira aspek seperti ekonomi, rasuah dan tatakelola.

Bersih memberikan gred D kepada Kerajaan Madani sepanjang dua tahun pentadbirannya.

Anwar berkata, pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam, terdapat cadangan daripada menteri supaya diadakan satu pemukiman pada Januari depan, bagi menilai kekuatan dan kelemahan Kerajaan Madani.

Dalam pada itu, Anwar turut meluahkan kekesalan terhadap pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman dengan mengatakan kononnya Melayu terancam di bawah pimpinan Kerajaan MADANI selain masyarakat India dipinggirkan dan tidak diberi perhatian oleh kerajaan.

Beliau mahu segala naratif berkaitan pemprofilan perkauman dalam isu pemberian bantuan dan usaha pembasmian kemiskinan tegar di negara ini dihentikan segera.

Menurut Perdana Menteri dasar kerajaan adalah jelas, iaitu memberi bantuan tanpa sebarang diskriminasi kaum dalam usaha menangani kemiskinan tegar.

Beliau berkata ada juga pihak yang mendakwa beliau sebagai zalim dengan menuduh kononnya menganaktirikan negeri-negeri pembangkang, sedangkan Kerajaan Persekutuan telah berlaku adil dengan memastikan peningkatan perbelanjaan bagi semua negeri di bawah pentadbiran pembangkang.

Katanya ini dibuktikan antaranya dengan peningkatan pemberian negeri yang disalurkan Kerajaan Persekutuan, seperti Perlis yang meningkat kepada RM215.97 juta pada tahun hadapan, Kedah (RM532.07 juta), Kelantan (RM429.05 juta), dan Terengganu (RM450.12 juta).

Anwar berkata selain itu, terdapat juga peningkatan dalam peruntukan projek pembangunan termasuk projek tebatan banjir di Perlis iaitu sebanyak RM15 juta pada tahun hadapan, Kedah (RM132 juta), Kelantan (RM146.19 juta) dan Terengganu (RM77.1 juta).

Bagi projek bekalan air pula, Perlis bakal disalurkan RM11 juta pada tahun hadapan, Kedah (RM78.6 juta), Kelantan (RM515.6 juta) dan Terengganu RM2.6 juta, katanya.- 21/12/2024

Read more

khabar terbaru