Monday - 23, December 2024

Pesara bersyukur kerajaan teruskan PKKP

Share

Keputusan kerajaan meneruskan pemberian Penghargaan Khas Kepada Pesara (PKKP) membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan golongan pesara yang telah mencurah bakti kepada negara.

Bernama melaporkan Timbalan Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Datuk Mohd Rashidi Mohd Nor berkata golongan pesara pastinya bersyukur dengan keputusan berkenaan kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban kos sara hidup yang ditanggung.

“Dengan keadaan kos sara hidup yang tinggi ketika ini, ramai dalam kalangan pesara menghadapi kesulitan untuk menyara kehidupan dan langkah kerajaan meneruskan pemberian ini (PKKP) amat disambut baik,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga berharap kerajaan dapat memuktamadkan keputusan untuk melaksanakan penyelarasan pencen selaras dengan pelaksanaan semakan gaji pegawai perkhidmatan awam mengikut Akta 1980.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan melalui keputusan Jemaah Menteri pada Jumaat lepas, bersetuju meneruskan pemberian PKKP bagi mana-mana pesara dan penerima pencen terbitan yang telah menikmati PKKP, dalam usaha menjaga kebajikan golongan itu.

Sementara itu di PUTRAJAYA, seorang pesara Kementerian Komunikasi Nor Fadilah Othman menyifatkan langkah kerajaan meneruskan pemberian PKKP kepada golongan pesara adalah tepat kerana ia membantu meringankan kos sara hidup pesara.

Bekas Penolong Pegawai Penerbitan itu berkata pesara juga mempunyai komitmen atau perbelanjaan luar jangka yang perlu dilunaskan meskipun telah menamatkan perkhidmatan dalam sektor awam.

“Saya amat bersetuju dgn keputusan perdana menteri untuk meneruskan PKKP kerana setelah bersara berkemungkinan pesara menghadapi pelbagai masalah. Ini tentu saja memerlukan perbelanjaan tinggi dan dengan adanya PKKP yang berterusan, ia sedikit sebanyak membantu pesara,” katanya.

Di TERENGGANU Zikri Mamat, 63, berkata keputusan itu membuktikan kerajaan MADANI tidak pernah melupakan golongan pesara sepertinya yang telah lama berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Pesara Jabatan Pertanian Negeri Terengganu yang telah berkhidmat selama 39 tahun sejak 198 berkata pengumuman tersebut membuatkan dia rasa dihargai serta meringankan bebannya dalam menghadapi kenaikan harga barang serta kos sara hidup.

“Saya sangat bersyukur dengan pengumuman tersebut. Apatah lagi bagi kami yang bergred rendah dan menerima pencen bawah RM2,000 ini. Sangatlah membantu untuk saya meneruskan hidup bersama isteri,” katanya.

Di JOHOR, seorang pesara guru Minati Hamir, 70, berkata keputusan itu sangat bermakna untuk mengurangkan beban golongan pesara bagi pembelian barangan keperluan harian khususnya ubat-ubatan dan rawatan hospital.

“Ia juga boleh digunakan untuk kegunaan lain seperti berinfak dan juga untuk simpanan apabila diperlukan kelak. Harapan saya agar inisiatif seperti ini diteruskan pada masa depan sekali gus manfaatnya diterima lebih ramai pesara dalam meningkatkan kualiti dan kesejahteraan hidup pesara,” katanya.

Di SABAH seorang pesara kerajaan Norijah Ismail, 60, dari Kampung Indai, Tuaran turut berterima kasih kepada kerajaan kerana bersetuju meneruskan PKKP sekali gus memastikan golongan pesara tidak terpinggir.

“Gaji macam kami tidak besar, jadi PKKP sangat bermakna. Ini juga adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan golongan pesara,” katanya yang telah berkhidmat selama 36 tahun.-23/12/2024

Read more

khabar terbaru