Monday - 23, December 2024

KDN kumpul 55,000 Al-Quran rosak akibat banjir…

Share

Tahukah anda… naskah Al-Quran yang rosak akibat banjir perlu dilupuskan mengikut syarak?

Sehingga kini 55,000 naskhah telah dikumpulkan dengan hampir separuh daripadanya di negeri ini khususnya di daerah Tumpat, Pasir Mas dan Bachok yang mempunyai lima pusat pengumpulan.

Menurut Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN Nik Yusaimi Yussof, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjangkakan mengumpul kira-kira 150,000 naskhah al-Quran rosak akibat banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk dilupuskan.

Beliau berkata inisiatif itu digerakkan menerusi program Jom Exchange al-Quran (JEQ) menerusi kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Jabatan Mufti Kelantan, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) serta pihak berkuasa tempatan.

“Inisiatif ini dimulakan sejak 4 Dis lepas dan dijangka berakhir sehingga selesai Monsun Timur Laut (MTL) dengan kita juga mewujudkan pusat pengumpulan al-Quran di daerah terjejas banjir,” katanya.

Nik Yusaimi berkata terdapat beberapa kaedah untuk melupuskan al-Quran mengikut syarak termasuk kaedah pengeringan dengan abunya dibentuk menjadi kiub sebelum dilepaskan di tengah laut.

“Selain itu, terdapat pelupusan menerusi kaedah dinyahdakwatkan melibatkan proses menghilangkan dakwat al-Quran sebelum kertas dihancurkan serta dikitar semula untuk dijadikan kulit naskhah al-Quran dan sebagainya.

“Berdasarkan pemerhatian, program ini mendapat sambutan menggalakkan komuniti setempat yang terjejas banjir kerana mereka menerima naskhah al-Quran baharu diperakui KDN secara percuma bagi menggantikan yang rosak,” katanya.

Nik Yusaimi mendapati masih ada segelintir pihak melupuskan al-Quran menerusi kaedah yang tidak mengikut syarak termasuk mengambil mudah dengan melupuskan kitab itu di tempat kitar semula.

“Kita berharap tindakan ini dihentikan, malah kerjasama semua diperlukan termasuk komuniti dan pengusaha pusat kitar semula supaya menghormati serta memuliakan naskhah al-Quran,” katanya.-23/12/2024

Read more

khabar terbaru