
Tinjauan Merdeka Center dapati rating PM naik 4 peratus…
Tinjauan terbaru Merdeka Center keatas 1,207 responden berbilang kaum dapati rating penerimaan terhadap pentabiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meningkat 4 peratus.
Menurut badan bebas berkenaan ini bermakna rating pentabiran yang berusia dua tahun itu naik jadi 54 peratus berbanding 50 peratus pada tahun lalu.
Menerusi tinjauan yang dijalankan antara 27 November hingga 10 Oktober lalu, rating penerimaan terhadap Kerajaan Perpaduan meningkat 5 peratus jadi 51 peratus, berbanding 46 peratus pada November tahun lalu.
Merdeka Center beritahu dalam satu kenyataan pada Isnin tinjauan berkenaan dapati rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan pimpinan Anwar ketika ini berada pada tahap 47 peratus.
Secara umumnya responden berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri merentasi beberapa bidang termasuk dalam menarik pelaburan meningkatkan imej negara dan meningkatkan perkhidmatan awam.
Namun mereka memberikan penilaian bercampur terhadap usaha memperkukuh ekonomi.
“Seperti sebelum ini, sentimen pengundi kekal tertumpu kepada ekonomi, yang sebahagian besarnya didorong oleh kebimbangan mereka terhadap ekonomi, dengan 65 peratus menyatakan sebagai ‘masalah nombor satu dihadapi rakyat di negara ini hari ini’, walaupun tinggi, ia menurun berbanding 74 peratus setahun yang lepas,” menurut kenyataan itu.
Merdeka Center juga memaklumkan bahawa terdapat penurunan 1 peratus dalam jumlah responden yang menganggap negara sedang menuju ke arah yang salah, iaitu daripada 54 peratus pada 2023 kepada 53 peratus tahun ini.
Bagi mereka sebab utama seperti isu ekonomi (47 peratus), ketidakstabilan politik (tujuh peratus) dan pentadbiran yang lemah (lapan peratus).
Tinjauan berkenaan juga menyatakan responden berusia 18 hingga 30 tahun mempunyai pandangan positif terhadap hala tuju negara dengan memberikan penarafan 49 peratus.
Manakala responden majoriti berusia 31 hingga 60 tahun ke atas berpendapat, negara sedang menuju ke arah yang salah dengan kebimbangan mengenai keadaan ekonomi negara seperti kos sara hidup yang tinggi, pendapatan minimum dan penurunan nilai ringgit.- 23/12/2024



