Monday - 23, December 2024

Kerajaan MADANI komited jamin kesejahteraan rakyat menerusi STR

Share

Inisiatif Kerajaan MADANI melaksanakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) merupakan satu usaha yang amat bermakna dalam membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup pada masa ini.

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Dr Barjoyai Bardai berkata komitmen kerajaan itu diterjemahkan menerusi Belanjawan 2025 yang menyaksikan pemberian STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelumnya, iaitu peningkatan tertinggi setakat ini.

“Walaupun dari segi asasnya rakyat memerlukan banyak bantuan lain, STR adalah satu inisiatif yang sering ditunggu-tunggu untuk meningkatkan kesejahteraan hidup mereka, dan pada masa sama memberikan sinar harapan bahawa kerajaan mengambil berat dan prihatin.

“Memanglah ia tidak cukup kerana keperluan kos sara hidup untuk satu keluarga adalah lebih RM3,000 sebulan, namun jika pemberian itu dijadikan tambahan kepada sumber pendapatan keluarga maka boleh dikatakan STR adalah satu jumlah sangat bermakna dan boleh memberi keselesaan hidup,” katanya kepada Bernama.

Barjoyai berkata, STR perlu diteruskan pada masa depan untuk kelangsungan hidup rakyat, tetapi kerajaan perlu mewujudkan kaedah yang menjadikan pelaksanaan bantuan tersebut lestari tanpa membebankan kewangan negara.

Bagi tujuan itu, beliau mencadangkan tabung endowmen diwujudkan melalui penubuhan sebuah institusi keselamatan sosial yang dapat menjana pendapatan tahunan bagi memastikan dana STR mencukupi dan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada belanjawan tahunan kerajaan.

Sementara itu, Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata pemberian STR penting bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat dengan mendapat limpahan kemakmuran secara terus daripada kerajaan.

“Impak STR juga dapat memberikan satu bentuk kebergantungan masyarakat kepada kerajaan dalam merealisasikan subsidi secara bersasar serta membentuk pelan ekonomi yang lebih terancang,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Okt lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada tahun depan sebanyak 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan berbanding 700,000 penerima tahun ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKAD penerima bermula April 2025 dan ia boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.

Selain itu penambahan peruntukan RM3 bilion tersebut membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700.

— BERNAMA

Read more

khabar terbaru