TAHUKAH ANDA

Dividen ASB kali ini paling tinggi dalam 5 tahun…

Seramai 11.1 juta pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) di seluruh negara tentu gembira mendapat khabar ini.

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pembayaran agihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Pada tahun lalu, agihan pendapatan dana ASB untuk tahun lalu adalah sebanyak 5.25 sen seunit.

Pengerusi Kumpulan PNB Raja Arshad Raja Tun Uda menerusi satu kenyataan pada Selasa berkata dividen kali ini yang paling kukuh sejak tempoh lima tahun lalu.

Menurut beliau prestasi yang lebih baik itu didorong impak positif daripada strategi kepelbagaian aset PNB serta faktor pasaran ekuiti awam Malaysia yang kukuh, yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang teguh dan pengukuhan ringgit.

“Ini meneruskan rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding portfolio rujukan mereka sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat merentas generasi.

“Walaupun di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perdagangan global yang berterusan, persekitaran makroekonomi Malaysia kekal positif, disokong oleh permintaan domestik yang teguh, kadar faedah yang stabil dan peningkatan pelaburan asing disebabkan tindak balas kukuh pelabur terhadap inisiatif MADANI kerajaan.

“Ia termasuk pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP),” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, pihaknya komited untuk mengembangkan simpanan rakyat Malaysia dengan menggalakkan mereka menyimpan lebih banyak serta menambah simpanan tersebut melalui pemberian pulangan yang mampan serta menerajui pasaran.

Dalam konteks itu, kata beliau, PNB akan meningkatkan usaha dalam celik kewangan dengan menyediakan program dan sumber pendidikan bagi memperkasa rakyat dengan pengetahuan untuk membuat keputusan kewangan termaklum.

“Kami juga akan mempergiat inisiatif pemasaran untuk menekankan kepentingan memupuk tabiat menyimpan yang konsisten bagi jaminan kewangan jangka panjang,” katanya.- 24/12/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button