FOKUS

LAGI…kisah rakyat Malaysia kena ‘pau’ polis ketika tengok konsert DWP di Jakarta

Sejak kisah ini kali pertama disiarkan media Indonesia seminggu lalu, ia kini bikin heboh dua negara berjiran dan serumpun, Malaysia dan Indonesia.

Media arus perdana Indonesia Kompas dapat skop selepas wartawannya menyiasat keluhan di media sosial dakwa sebilangan anggota polis peras penonton masa konsert Djakarta Warehouse Project (DWP) 2024 di JIExpo Kemayoran, Jakarta Pusat.

Konsert berkenaan berlangsung dari 13 hingga 15 Disember baru ini.

Yang peliknya… kebanyakan yang ditahan dan diperiksa serta diperas duit selepas itu ialah warga negara Malaysia.

Terdapat juga ada segelintir warga Singapura dan Thailand yang kena.

Pendedahan awal di media Indonesia asalnya dakwa kejadian itu melibatkan lebih 400 rakyat Malaysia yang diperas RM9 juta.

Namun hasil siasatan polis Indonesia kemudiannya mendapati jumlah sebenar mereka 45 orang yang diperas dengan nilai rampasan RM718,068 atau IDR 2.5 bilion.

Lebih mengejutkan lagi, siasatan oleh pasukan penyiasat polis Indonesia dapati semua hasil wang peras itu dikumpulkan dalam satu akaun khas yang disiapkan lebih awal.

Sehingga kini 18 orang anggota polis Indonesia yang terlibat dengan perbuatan itu sudah ditahan.

Mereka dijangka akan menjalani perbicaraan displin (dibuang kerja atau digantung tugas) minggu hadapan.

Insiden ini mula meletop di media selepas timbul kisah Ilham, 26 rakyat Malaysia jadi mangsa dakwaan peras ugut anggota polis masa konsert berkenaan.

Kejadian berlaku ketika Ilham sedang menikmati persembahan Steve Aoki di pentas Garuda Land bersama rakannya, Raka (27), warga Indonesia.

Menurut kenyataan Raka, beberapa orang yang mengaku polis tiba-tiba memegang tangan Ilham dan memintanya ikut mereka.

“Polis… ikut kami ke belakang,” kata salah seorang dari mereka, seperti yang diceritakan Raka kepada Kompas.

Ilham mengakui selain dirinya, terdapat beberapa lagi penonton yang turut dibawa untuk disoal siasat. Selepas menjelaskan dia rakyat Malaysia, Ilham diminta menunjukkan pasportnya untuk pemeriksaan.

Bagaimanapun, selepas pasport diserahkan, anggota polis menjalankan ujian ketenangan ke atas Ilham untuk menentukan sama ada dia mabuk.

Raka menjelaskan, “Ujiannya mudah, seperti membaca nombor pada jari anda, berjalan lurus, dan mengesan bau mulut.”

Walaupun Ilham lulus ujian kewarasan, pasportnya tidak segera dikembalikan. Malah, usahanya meminta kembali dokumen itu tidak diendahkan.

Selepas kira-kira 30 minit, Raka menemui Ilham dalam keadaan panik sambil meminta pasportnya dikembalikan. Beberapa penonton lain yang mengalami perkara yang sama kelihatan keliru.

Melihat keadaan ini, Raka memberikan wang sebanyak IDR200,000 kepada anggota polis yang terlibat.

Ekoran itu kemudian mereka memulangkan pasport Ilham.

“Kawan saya hanya diuji kesedaran sahaja. Namun, ada juga ujian air kencing. Selepas membayar, pasportnya dipulangkan,” kata Raka.

Skop laporan Kompas ini kemudiannya berkembang dan terus menghangatkan dua-dua negara.

Penganjur acara DWP dalam satu kenyataan mengakui mengenai kejadian itu dan menyatakan kekesalan terhadap apa yang dialami oleh pengunjung konsert itu.

“Walaupun aspek tertentu situasi tersebut berada di luar kawalan kami…kami memahami sepenuhnya kesannya terhadap anda,” menurut kenyataan itu dalam satu hantaran di Instagram rasmi mereka pada Rabu.

Susulan daripada insiden terbabit, ramai pengunjung melahirkan kekesalan terhadap insiden yang berlaku.

Malah, rakyat Malaysia yang hadir pada konsert itu turut mengakui agak trauma dan serik untuk kembali menyertai festival muzik tersebut pada masa akan datang.

Pada masa sama, terdapat juga antara mereka berkongsikan pengalaman menakutkan ketika diperiksa dan diperas oleh kalangan anggota polis itu.

“Saya rakyat Malaysia dan saya tidak pergi ke sana lagi. Kawan-kawan saya yang tidak bernasib baik semua ditangkap secara rawak, walaupun mereka tidak ambil dadah dan ujian air kencing adalah negatif.

“Saya telah datang menyertai DWP banyak kali tetapi tahun ini cukup teruk. Kami tidak berasa selamat sama sekali untuk menikmati muzik.

“Saya tidak akan mengesyorkan rakan saya untuk pergi ke festival muzik ini lagi. Jadi ya, tidak lagi untuk DWP,” kongsi salah seorang dari mereka.

“Selama 10 tahun, saya menyokong dan sangat seronok menyertai DWP. Tetapi untuk tahun ini, ia bertukar menjadi mimpi ngeri. Pada malam kedua, polis menyerbu hotel kami semasa kami sedang tidur.

“Mereka membawa kami ke ibu pejabat dan melakukan lakonan yang cukup baik untuk memeras sehingga 300 juta rupiah (kira-kira RM83,600) daripada kami.

“Saya sukakan Indonesia, tetapi saya tidak akan menghadiri DWP lagi,” katanya,” ujar zainal_rahman68.

Sementara itu, seorang lagi yang mahu dikenali sebagai ez.rawr mendakwa dia dan rakannya menyedari mengenai kehadiran anggota polis yang menyamar sebagai ‘mata-mata’, dipercayai untuk mencari mangsa ketika konsert berkenaan.

“Ada dua orang polis yang menyamar melihat saya dan rakan saya selama 15 minit terus. 10 minit kemudian, mereka pergi memberhentikan pasangan lain secara rawak tanpa sebab sebelum mengiringi pasangan itu ke tempat lain.

“Terasa tidak selamat selepas mendengar cerita negatif berkenaan konsert terbabit. Perbuatan memeras ugut cukup mengerikan. Saya tidak akan pernah kembali ke DWP dan sebaliknya akan menghadiri festival di Thailand,” ujar ez.rawr.-26/12/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button