Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin mengumumkan bahawa Telegram dan Tencent (WeChat) telah memulakan proses pelesenan yang diperlukan untuk mereka beroperasi di Malaysia.
MCMC memuji komitmen Telegram dan Tencent untuk mematuhi keperluan pelesenan tersebut. Kedua-dua platform dijangka akan memenuhi syarat yang diperlukan untuk beroperasi di Malaysia dalam masa terdekat.
Keperluan pelesenan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2025 ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna, dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan internet dan
media sosial.
Kerangka ini dirangka untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang dipercayai dan selamat dengan menyeru penyedia perkhidmatan agar melindungi pengguna, khususnya kanak-kanak dan golongan rentan.
Rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada peningkatan keselamatan, pengalaman pengguna yang lebih baik serta perlindungan yang lebih teguh terhadap kandungan berbahaya.
MCMC mengingatkan semua Penyedia Perkhidmatan yang memenuhi syarat pelesenan agar mengemukakan permohonan mereka dengan segera sebelum tarikh akhir pada 31 Disember 2024.
Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan tindakan pengawalseliaan diambil walaupun ianya adalah perkara yang mahu dielakkan oleh semua pihak.
MCMC juga komited untuk memberikan sokongan yang diperlukan kepada semua Penyedia Perkhidmatan bagi memastikan proses permohonan mereka berjalan lancar.
KOMUNIKASI KORPORAT MCMC – 26/12/2024