TAHUKAH ANDA

SPRM tumpu banteras rasuah besar pada 2025…

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi tumpuan kepada usaha membanteras rasuah dalam aspek perolehan, penguatkuasaan dan rasuah besar pada 2025.

Langkah itu bertujuan membantu pertumbuhan ekonomi negara, mengurangkan ketirisan, serta mengembalikan aset dan wang negara yang telah diselewengkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata suruhanjaya itu akan melaksanakan perubahan struktur melalui penambahbaikan pendekatan kerja, selain memperkukuhkan fungsi dan peranan setiap bahagian agar lebih berkesan dalam melaksanakan tugas.

“Sebagai Ketua Pesuruhjaya, saya akan melakukan pembaharuan terhadap pendekatan yang digunakan di SPRM, termasuk cara bekerja, berfikir, dan pola pemikiran. Langkah ini penting agar SPRM tidak terperangkap dalam zon selesa.

“Kita perlu menjalani transformasi untuk meningkatkan keberkesanan dan kepakaran, sekali gus memastikan pegawai lebih profesional dalam melaksanakan tugas dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata penekanan khusus akan diberikan terhadap penyiasatan tatakelola dengan penjenamaan semula Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (Perun) kepada Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT).

“Ia sekali gus memberikan taring kepada SPRM untuk memastikan hasil penyiasatan tatakelola dilaksanakan oleh jabatan terlibat.

“Penting bagi menutup ruang dan peluang rasuah, selaras dengan usaha memperkasakan pentadbiran dan amalan tatakelola,” katanya.

Selain itu, SPRM akan menyemak semula semua prosedur operasi standard (SOP) yang berkaitan dengan Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya bagi menangani cabaran semasa, memandangkan kes-kes rasuah kini semakin rumit dan kompleks.

“Berdasarkan kekuatan kakitangan semasa, adalah penting untuk mengamalkan pendekatan yang tepat dengan menilai semula strategi yang digunakan di semua sektor SPRM,” katanya.

Sebelum ini, Anwar, yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2025, mengumumkan peruntukan SPRM ditingkatkan kepada RM360 juta pada 2025 berbanding RM338 juta yang diterima 2024.

Beliau berkata kerajaan memberi kebebasan sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas, bagi memastikan pesalah rasuah diheret ke muka pengadilan.-27/12/2024

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button