Kes pemerasan terhadap rakyat Malaysia yang menonton konsert di Jakarta semakin menarik… asal 18 orang disiasat, kini dah naik jadi 34 orang termasuk 10 pegawai kanan.
Ini berdasarkan laporan bahawa Ketua Polis Daerah Metro Jaya Inspektor Jeneral Karyoto mengeluarkan 34 anggota daripada unit siasatan dadah berikutan kes peras ugut tersebut.
Pengeluaran atau ‘bebas tugas’ tersebut dinyatakan dalam Surat Telegram ST/429/XII/KEP.2024 bertarikh 25 Disember 2024.
Menurut Kompas, seramai 34 pegawai polis telah dipindahkan ke ibu pejabat polis Metro Jaya untuk tujuan pemeriksaan.
Daripada 34 pegawai polis itu, terdapat 10 pegawai kanan dengan jawatan terdiri daripada tiga pegawai polis berpangkat Adjung Pesuruhjaya Polis (AKBP) atau dua melati emas (dua paku) dan tujuh orang berpangkat Pesuruhjaya Polis (Kompol) atau seorang melati emas (satu paku).
Ketua Perhubungan Awam Polda Metro Jaya Kombes Ade Ary Syam Indradi mengesahkan pemindahan secara besar-besaran itu.
Dalam surat yang ditandatangani Pesuruhjaya SDM Karo Dwita Kumu Wardana, mereka dipindahkan ke Yanma Polda Metro Jaya untuk tujuan siasatan.
Sebelum ini x-press melaporkan penahanan ke atas 18 anggota polis Indonesia dibuat susulan beberapa aduan daripada warga Malaysia yang mendakwa mereka dianiaya dan diperas sepanjang acara itu tular di media sosial.
Difahamkan dalam kejadian tersebut, penonton warga Malaysia dipaksa menjalani ujian air kencing, diminta menunjukkan pasport dan diminta membayar sejumlah wang, walaupun keputusan ujian dadah mereka negatif.
Konsert DWP selama tiga hari di Jakarta International Expo yang dianjurkan oleh Ismaya Live, sebahagian daripada Ismaya Group, tamat pada 15 Dis dan merupakan antara festival muzik elektronik terbesar di Asia.
Dalam satu kenyataan, pihak penganjur DWP menyatakan kekesalan terhadap cabaran yang dihadapi oleh mereka yang terjejas, sambil mengakui bahawa walaupun sesetengah isu berada di luar kawalan mereka, mereka memahami kesannya.
DWP juga memberi jaminan bahawa mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa dan badan kerajaan yang berkaitan untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu.
Insiden berkenaan turut menarik perhatian Ketua Suruhanjaya III Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Habiburokhman, yang menyuarakan keyakinan bahawa Propam akan menangani dakwaan pemerasan itu secara adil.
“Jika pemerasan berlaku, mereka yang terlibat mesti dihukum,” katanya.
Suruhanjaya Polis Nasional (Kompolnas) turut menyeru tindakan tegas terhadap anggota yang terlibat, termasuk perbicaraan etika dan hukuman jenayah jika kesalahan terbukti.
“Jika melibatkan jenayah, mereka mesti diadili. Kami menyokong siasatan Propam,” kata Komisioner Muhammad Choirul Anam, seperti yang dilaporkan portal berita Kumparan.-27/12/2024