Friday - 3, January 2025

Dakwa pelacur dan penjilat PM…Ketua Polis Negara saman Papagomo

Share

Blogger Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris kini berdepan saman fitnah dari Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain kerana melabel beliau sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam, Raam Kumar yang mewakili Razarudin kata notis tuntutan saman berkenaan sudah diserahkan kepada Papagomo selaku defendan, pada Jumaat.

Papagomo didakwa membuat hantaran video berbaur fitnah dan mengaibkan Razarudin pada 15 Disember lalu.

Menurut Raan Kumar menerusi tuntutan itu, plaintif menuntut perintah injuksi bagi menghalang kesemua defendan sama ada secara sendiri atau pekerja atau mana-mana pihak lain daripada mengeluarkan kenyataan dan kata-kata dianggap fitnah.

Selain itu, katanya defendan juga turut dihalang daripada melakukan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.

“Plaintif menuntut ganti rugi bagi fitnah lisan, ganti rugi fitnah bertulis, ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan dan ganti rugi khas.

“Plaintif juga menuntut defendan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan atau memadamkan serta memusnahkan kesemua video, penerbitan dan mesej atau material yang merupakan fitnah oleh defendan,” katanya.

Pada 19 Disember, Papagomo direkod keterangan di Balai Polis Setapak ,Kuala Lumpur bagi siasatan lanjut berkaitan hantaran video berbaur fitnah itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.- 28/12/2024

Read more

khabar terbaru