Friday - 3, January 2025

Peras ugut rakyat Malaysia: Bukan hanya polis… peguam Indonesia pun terlibat

Share

Bukan hanya polis, peguam Indonesia juga terlibat dalam kes peras duit rakyat Malaysia. Itu pendedahan terbaru yang mengejutkan oleh seorang rakyat Malaysia yang disiarkan secara meluas oleh media di negara jiran itu.

Wang yang diperas dibayar melalui akaun peguam disediakan oleh geng anggota polis Indonesia yang terlibat perbuatan itu ‘kononnya’ sebagai mewakili mereka yang ditahan.

Menceritakan semula pengalamannya, Amir Mansor (29) berkata dia terbang dari Kuala Lumpur bersama rakan-rakannya untuk berpesta dan menari di acara Djakarta Warehouse Project (DWP) yang berlangsung dari 13 hingga 15 Disember 2024.

Sebagai peminat muzik rave, dia tidak mahu terlepas hadiri salah satu festival muzik elektronik terbesar di Asia.

“Kami sudah biasa melancong ke negara Asia untuk menghadiri festival muzik. Kami telah pergi ke Thailand, Singapura, Korea dan juga Indonesia,” kata Amir seperti yang disiarkan oleh BBC News Indonesia.

Tahun lalu, Amir juga pergi ke Bali untuk DWP. Pengalaman itu menyeronokkan. Jadi, dia memutuskan untuk pergi lagi tahun ini.

Malangnya, rancangannya untuk berseronok selama tiga hari bertukar menjadi mimpi ngeri kerana “serbuan” dadah oleh geng anggota polis yang curang itu.

Menurut Amir, dia baru sahaja memesan perkhidmatan teksi dalam talian melalui telefon bimbitnya apabila melihat rakannya didatangi beberapa orang.

Ketika itu, mereka hendak pulang ke hotel selepas menonton malam pertama festival muzik.

“Pada mulanya saya menyangka mereka adalah pemandu teksi motosikal dalam talian (Gojek) yang sedang mencari pelanggan,” kata Amir.

Amir beranggapan demikian kerana mereka berpakaian kasual dan tidak menunjukkan pengenalan diri polis atau waran geledah.

“Mereka memanggil rakan saya yang berjalan bersama saya. Mereka mencari rakan saya, kemudian saya menunggu rakan saya kerana saya telah mengarahkan teksi dalam talian untuk pulang bersama saya. Mereka (polis) kemudian menarik saya bersama-sama, memeriksa dompet dan barang-barang saya. ,” katanya.

Amir mendakwa polis tidak menemui sebarang bukti dadah ketika digeledah.

Dia juga melihat polis melakukan perkara yang sama secara rawak keatas beberapa pengunjung DWP lain.

Mereka kemudiannya dikumpulkan dan dibawa ke Polda Metro Jaya (ibupejabat polis Jakarta) . Setibanya di balai polis, Amir diminta membuat ujian air kencing. Telefon bimbit mereka dirampas, mereka tidak dibenarkan menghubungi sesiapa, termasuk peguam atau Kedutaan Malaysia.

“Mereka hanya membenarkan kami menghubungi keluarga kami, tetapi mereka memantau komunikasi kami, kemudian merampas telefon bimbit kami semula. Mereka juga tidak membenarkan kami melantik seorang peguam. Mereka memaksa kami menandatangani “surat perlantikan peguam yang telah mereka tentukan,” ujarnya.

Pada sebelah pagi, polis memberikan keputusan ujian air kencing mereka.

“Ada antara kami positif dan ada yang negatif. Tetapi walaupun keputusan ujian negatif, mereka tetap mengurung kami di pejabat mereka. Mereka kata kerana kami datang bersama, walaupun ada (keputusan ujian air kencing) negatif, kami diminta untuk akui kami salah dan bayar untuk dapat bebas,” kata Amir.

Amir mendakwa dia dan lapan rakannya diminta membayar IDR 800 juta untuk bebas. “Walaupun tidak jumpa bukti, cuma beberapa ujian air kencing…kami terpaksa membayar IDR 800 juta…walaupun keputusan negatif, kami tetap perlu membayar,” jelasnya.

Amir cuba berunding jumlah nominal wang yang perlu dibayar. Akhirnya, mereka membayar sekitar 100,000 ringgit Malaysia (sekitar Rp. 360 juta).

Salah satu tangkapan skrin adalah bukti pemindahan Amir dan rakan-rakannya ke akaun milik peguam MAB dalam kes peras ugut penonton DWP. Amir dan lapan rakan memindahkan dana berjumlah RM 100,000 secara berperingkat.

Berdasarkan bukti pemindahan yang masih disimpan, mereka menghantar dana tersebut ke akaun peribadi seseorang berinisial MAB.

Amir mendakwa MAB adalah peguam yang dilantik oleh geng polis berkenaan sebagai pendamping sah kepada Amir dan rakan-rakannya. Terdapat juga seorang lagi peguam berinisial AT yang main peranan yang sama dengan MAB, dakwa Amir.

Menurutnya, AT dikenali sebagai salah seorang peguam dalam Polda Metro Jaya.

BBC News Indonesia telah meminta pengesahan daripada Polda Metro Jaya dan Ibu Pejabat Polri berhubung dakwaan Amir, namun sehingga artikel ini disiarkan mereka tidak mendapat jawapan.

Amir menghabiskan hampir dua malam di balai polis. Selama itu, dia hanya diberi sekali makan. Dia mengakui melihat ramai yang mengalami nasib yang sama. Mereka ini, kata Amir, bukan sahaja dari Malaysia. “Ada orang Indonesia, Singapura dan Taiwan.

“Ada yang dilayan lebih teruk daripada kami. Ada orang Taiwan yang dimasukkan ke dalam sel kerana pejabat mereka penuh dengan kita,” kata Amir .

Dia akhirnya dibebaskan pada Ahad (15/12/2024) tengah hari.

Amir hanyalah salah seorang dari banyak warga asing (WNA) yang menjadi mangsa peras ugut geng anggota polis bertopengkan serbuan dadah.

Sebelum ni, Ketua Bahagian Profesion dan Keselamatan (Propam) Polis Negara Inspektor Jeneral Abdul Karim menyatakan bahawa bahan bukti yang dirampas bernilai IDR 2.5 bilion (RM718,068).

“Dua aduan rasmi telah difailkan oleh warga Malaysia,” katanya.

Sehingga Jumaat 27 Disember, seramai 34 pegawai polis telah dipindahkan ke ibu pejabat polis Metro Jaya untuk tujuan pemeriksaan.

Daripada 34 pegawai polis itu, terdapat 10 pegawai kanan dengan jawatan berpangkat Adjung Pesuruhjaya Polis (AKBP) atau dua melati emas (dua paku) dan tujuh orang berpangkat Pesuruhjaya Polis (Kompol) atau seorang melati emas (satu paku).

Ketua Perhubungan Awam Polda Metro Jaya Kombes Ade Ary Syam Indradi mengesahkan pemindahan secara besar-besaran itu.

Konsert DWP selama tiga hari di Jakarta International Expo yang dianjurkan oleh Ismaya Live, yakni sebahagian daripada Ismaya Group, tamat pada 15 Disember dan merupakan antara festival muzik elektronik terbesar di Asia.-28/12/2024

Read more

khabar terbaru