Teguran Pengerusi DAP Lim Guan Eng bahawa sebarang program UMNO bersama parti pembangkang akan menimbulkan keraguan mengenai kestabilan politik dan kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan telah mendapat reaksi ‘kurang senang’ Datuk Seri Zahid Hamidi.
Diminta ulas komentar bekas Setiausaha Agung DAP itu mengenai hasrat PAS nak sertai himpunan soladiriti kepada Datuk Seri Najib Razak di Istana Kehakiman di Putrajaya pada Isnin ini,Presiden UMNO itu kata,”Saya fikir saya tak perlulah (ulas) kerana itu pendapat peribadi beliau.
“Zaman beliau (Guan Eng) sudah berlalu dan berilah kepercayaan kepada kepemimpinan DAP yang ada sekarang ini, jangan nak menyiku mana-mana sahabat,” katanya selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya Khamis.
Guan Eng dilaporkan mengingatkan UMNO bahawa sebarang program bersama parti pembangkang khususnya PAS akan menimbulkan keraguan mengenai kestabilan politik dan kedudukan parti itu dalam Kerajaan Perpaduan.
Guan Eng berkata, ia termasuk himpunan aman tanda solidariti kepada Datuk Seri Najib Razak pada Isnin ini.
Sementara itu, ditanya sama ada UMNO akan meneruskan perhimpunan aman berkenaan atau sebaliknya, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ia seperti mana yang dilaporkan.
Selain itu, ditanya mengenai hasrat PAS untuk menyertai perhimpunan berkenaan, beliau berkata, perkara itu perlu ditanya kepada parti terbabit.- 2/1/2025