Sunday - 5, January 2025

Jom intai mulanya langkah wajib lesen dicelah ‘the good…the bad…and the ugly’ media sosial

Share



Senang cakap…kita tidak perlu seorang pakar dengan ijazah berjela untuk huraikan ‘the good…the bad…and the ugly’ arina media sosial sekarang yang sudah jauh maju dengan pelbagai platform dan segala macam aplikasi canggih.

Ketika berjuta orang hari demi hari terpaku seronok main facebook,instagram,whatapps,tik tok dan sebagainya…disebalik tirai itu ramai yang melalui pengalaman mimpi ngeri gara gara media sosial.

Dari masa ke semasa kita boleh baca tentang kisah mangsa scammer,jenayah siber serta pelbagai perbuatan serong dan salah guna…hanya dengan kuasa petik di hujung jari.

Ini bukan kisah Ali Baba Bujang Lapok.Realiti sekarang segala bentuk ancaman dari kong kali kong media sosial terbentang di depan mata semua orang.

Kita tidak perlu susah payah toleh kiri kanan depan belakang untuk cari contoh untuk menguatkan cerita.

Seorang pengguna aktif media sosial yang mahu namanya disebut sebagai ‘Ghazali’ saja beritahu www.x-press.my sekarang ini dia sentiasa peluh dingin bila pegang telefon bimbit.

Dia mengakui ia timbul bila menerima panggilan atau whatapps dari nombor yang tidak dikenali atau yang tidak ada dalam contact list.

Kebimbangan kena scam begitu menghantui dirinya hingga adakalanya dia miss sebilangan panggilan sepatutnya sahih perlu dijawab.

Ghazali juga buka kisah seorang kawannya yang baru guna satu aplikasi tertentu berdepan maki hamun.

Bala itu sudah pasti bila nombor telefon bimbitnya kena hijack digunakan scammer untuk hantar mesej guna skrip cerita air mata minta pinjam duit sana sini.

Ini belum masuk kes duit orang lesap dalam akaun selepas buka patuan tertentu yang dikirim melalui media sosial,kes buli siber,fitnah,hasut dan lain lain.

Keluhan Ghazali ini cuma secebis dari ribuan kes.

Ketika ini semua berleluasa berlaku…ramai yang bertanya dimanakah akhirnya al-kisah media sosial dan siapa yang akan menjadi penguatkuasa untuk pantau dan ada kuasa bertindak.

Mahu tidak mahu kita semua harus terima hakikat ada baiknya media sosial namun buruk serta cacat celanya juga sama laju naik.

Dicelah polimek ini…sejurus masuk ke tahun 2025 apa yang sekarang menjadi berita besar ialah langkah kerajaan mewajibkan pelesenan bagi perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet.

Ia akan dikuatkuasakan melalui Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Peraturan baru yang berkuat kuasa I Januari ini yang diharap mampu meningkatkan akauntabiliti platform hanya meliputi penyedia perkhidmatan yang ada sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia.

Imbas kembali sewaktu awal pecah khabar kerajaan hendak mengadakan peraturan pelesenan ini timbul macam macam bantahan kerana salah faham.

Ada kalangan yang menduga ia salah satu taktik pihak berkuasa hendak kawal kebebasan bersuara.

Persatuan yang mewakili syarikat internet dan teknologi terkemuka, Asia Internet Coalition (AIC) menggesa kerajaan menghenti dan mempertimbangkan dengan teliti rancangan pelesenan untuk platform media sosial.

AIC yang dianggotai antaranya Google, Meta, Amazon dan Grab menghantar bantahan menerusi surat bertarikh 23 Ogos 2024 dan ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Urusan AIC Jeff Paine dalam satu kenyataan berkata “untuk apa sebenarnya platform ini akan mendaftar. Tiada platform boleh dijangka mendaftar di bawah syarat ini.

“Kami juga amat bimbang tentang bagaimana rangka kerja pelesenan akan memberi kesan kepada ekonomi digital Malaysia. Malaysia telah menjadi hab digital utama, menarik pelaburan besar pada 2024,” ujarnya.

“Kami percaya rangka kerja pelesenan ini tidak boleh dilaksanakan untuk industri dan akan memberi kesan buruk kepada inovasi dengan meletakkan beban yang tidak wajar kepada perniagaan.

“Ia akan halang pelaburan berterusan dan masa depan disebabkan oleh kerumitan serta kos pematuhan,” katanya.

Lawyers For Liberty (LFL) pula mengkritik usaha kerajaan langkah ini.

Pengasas bersama yang juga penasihatnya, Eric Paulsen bimbang iai boleh memberi ruang kepada penyalahgunaan oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, kebimbangan itu bersasas dengan mendakwa Akta Hasutan, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Perhimpunan Aman dan lain-lain telah disalahgunakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengarah LFL Zaid Malek juga senada dengan Paulsen. Katanya, pelesenan platform media sosial sama sekali tidak diperlukan dan akan menjejaskan lagi reputasi kerajaan kerana dilihat cuba menutup mulut pengkritik.

Dia menyamakan tindakan itu seumpama dengan konsep di sebalik Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang telah berdekad digunakan untuk mengawal media cetak termasuk menutup akhbar.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching secera tegas mempertahankan langkah itu.

Katanya keputusan itu adalah bagi mempertanggungjawabkan semua penyedia platform media sosial agar mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan komuniti.

Beliau secara khusus berkata lesen berkenaan bertujuan mengekang peningkatan kes jenayah siber terutamanya jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan penipuan dalam talian di negara ini yang dilihat semakin membimbangkan.

Teo menghuraikan sebanyak 360 kes seksual melibatkan kanak kanak menerusi media sosial direkodkan pada 2022 dan meningkat kepada 525 kes pada 2023 dan 288 kes dicatatkan dari Januari hingga Jun tahun ini.

Manakala jumlah kerugian yang diakibatkan oleh penipuan dalam talian adalah RM453 juta pada 2022, meningkat kepada RM1.2 bilion pada tahun lepas manakala dari Januari hingga Jun ini, jumlah kerugian yang telah dicatatkan oleh pihak polis adalah RM637 juta.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah mematikan kebimbangan dengan menegaskan hak serta kebebasan bersuara tidak akan disekat oleh peraturan baru ini.

Katanya “Ada pihak-pihak yang menyatakan pandangan yang jauh lari daripada realiti proses sebenar pelesenan. Saya ingin jelaskan ia terpakai kepada pemberi perkhidmatan sahaja, bukan kepada pengguna atau pempengaruh.”

Ditanya sama ada penyedia perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet telah diberikan taklimat mengenai langkah pelesenan itu, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengadakan sesi perbincangan pada Februari lepas, melibatkan 27 pihak berkaitan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antaranya Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Artikel 19 dan Majlis Peguam.

Beliau berkata ini membuktikan bahawa kerajaan sangat terbuka untuk menerima pandangan dan kritikan dalam melindungi hak rakyat, hak bersuara dan hak menggunakan Internet dengan selamat.

MCMC dalam satu kenyataan pada 1 Januari memaklumkan, Tencent (WeChat) dan ByteDance (TikTok) menjadi antara empat penyedia perkhidmatan yang telah memohon dan berjaya memperoleh lesen.

“Tencent (WeChat telah diberikan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), menjadikan mereka penyedia perkhidmatan pertama dilesenkan di bawah keperluan pelesenan untuk penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial.

“Selepas WeChat, ByteDance (TikTok) telah berjaya memperoleh lesen mereka,” menurut kenyataan itu lagi.

MCMC memaklumkan satu lagi penyedia perkhidmatan mesej Internet iaitu Telegram sedang berada di peringkat akhir proses pelesenan dan dijangka mendapat lesen dalam masa terdekat.

“Manakala Meta, yang menyelia Facebook, Instagram dan WhatsApp telah memulakan proses untuk memperoleh lesen bagi membolehkan platform mereka beroperasi di dalam negara, yang dijangka akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

“X (dahulu dikenali sebagai Twitter) dan Google, yang mengendalikan YouTube, belum menghantar permohonan kepada MCMC. Menurut X, jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang lapan (8) juta pengguna yang disyaratkan.

“Ketika ini, MCMC sedang giat menyemak kesahihan jumlah pengguna dan akan meneruskan sesi libat urus bagi menilai kedudukan X,” katanya.

Sementara itu ikut laporan Bernama Pakar Teknologi Maklumat Dr T. Sashi Kumar berpendapat langkah mewajibkan pelesenan ini membolehkan penyedia perkhidmatan beroperasi secara lebih bertanggungjawab dalam mengawal kandungan yang mempunyai unsur negatif serta mengelakkan kegiatan buli siber.

“Privasi dan keselamatan data juga akan dipertingkatkan iaitu platform berlesen lebih mematuhi undang-undang perlindungan data seperti Akta Perlindungan Data Peribadi Malaysia (PDPA) dan memastikan pengendalian dan perlindungan data pengguna yang lebih baik.

“Peraturan amalan pasaran juga akan menghalang amalan monopoli dengan memastikan persaingan yang adil dan saksama antara platform media sosial dan menggalakkan media sosial tempatan untuk berkembang dalam persekitaran yang lebih terkawal,” katanya.

Beliau berkata Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) yang diwajibkan menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu juga dapat mengawal penyebaran kandungan sensitif berunsur kaum, agama atau raja (3R).

Sashi Kumar berkata usaha itu memberikan pihak berkuasa saluran yang jelas untuk bekerjasama dengan syarikat penyedia perkhidmatan media sosial dalam menyiasat serta mengambil tindakan terhadap sebarang isu yang timbul secara lebih proaktif.

Langkah pelesenan katanya dapat memudahkan pengalihan keluar kandungan yang menyalahi undang-undang dengan lebih cepat.

Senada, penganalisis keselamatan dan politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata langkah kerajaan itu adalah penting dalam mendepani cabaran ekosistem media digital antaranya isu berkaitan radikal, subversif serta isu yang boleh menggugat perpaduan terutamanya terhadap kumpulan rentan seperti kanak-kanak.

“Ini merupakan langkah terkedepan kerana banyak negara luar juga mempunyai perundangan yang eksklusif terhadap pengendali media sosial mereka seperti di Kanada, Australia, Amerika Syarikat dan negara-negara lain malahan mereka juga mengambil langkah ekstrem dengan mengehadkan pemilik media sosial itu haruslah berusia 16 tahun ke atas untuk mempunyai akaun,” katanya.

Mengulas lanjut, Noor Nirwandy berkata algoritma media sosial yang membolehkan hantaran negatif tular dengan mudah menjadikan kumpulan rentan sebagai sasaran justeru pengendali media sosial harus diberikan tanggungjawab.

“Ini juga supaya mereka boleh membantu bekerjasama dalam mengawal perkara yang berhubungan dengan kesalahan jenayah, kesalahan sosial yang berkaitan dengan perilaku ataupun tatakelola dalam negara masing-masing termasuk dalam Malaysia.

“Negara sememangnya perlu mempunyai satu kuasa dominan dalam memastikan platform media sosial akur dengan peraturan kerana ia bukan bertentangan dengan hak asasi…kerana banyak negara maju turut melakukan perkara sama dalam melindungi pengguna media sosial dan demi menjamin keselamatan negara termasuk menjaga ketamadunan perilaku sosial atau identiti negara terus terpelihara,” katanya.

Beliau berkata masyarakat turut berperanan dalam mengawal algoritma media sosial sebagai usaha memastikan kandungan media sosial yang lebih selamat.

Penasihat kewangan Munirah Musthpar berkata langkah kerajaan mewajibkan perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet memohon ASP(C) tepat pada masanya, memandangkan kandungan di platform berkenaan semakin hari semakin membimbangkan khususnya terhadap kanak-kanak.

“Selepas ini kandungan berisiko seperti pronografi, buli siber, scammer dan sebagainya dapat dikawal bagi memastikan penggunaan platform media sosial yang lebih selamat terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

“Langkah mewajibkan permohonan lesen ini juga akan membuatkan pihak ini lebih bertanggungjawab ke atas perkhidmatan yang diberikan dan lebih proaktif dalam mengesan kandungan yang tidak sewajarnya tersiar tanpa kawalan,” katanya.

Keperluan pelesenan itu yang berkuat kuasa hari ini bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna dan memperkukuh kawal selia ke atas penyedia perkhidmatan pesanan Internet serta media sosial.

“Tahniah dan tabik Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. Ini langkah dan keputusan kerajaan yang wajib disokong,” kata Ghazali memberi kesimpulannya tentang langkah ini.

Dia menaruh harapan agar pihak MCMC selaku penguatkuasa peraturan baru ini akan tip top dalam laksana amanah kawal selia. – OLEH HIEKAL ROSLI 2/1/2025

Read more

khabar terbaru