Tuesday - 7, January 2025

UMNO batal perhimpunan solidariti untuk Najib di Istana Kehakiman Isnin ini…

Share

UMNO telah membatalkan rancangan mengadakan perhimpunan solIdariti pada Datuk Seri Najib Tun Razak di kompleks Istana Kehakiman masa pendengaran
mengenai semakan isu titah tambahan tahanan di rumah di Mahkamah Rayuan Isnin ini.

Serentak itu parti berkenaan akur atas segala saranan agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan bagi bekas Perdana Menteri itu.

Keputusan ini dimaklum oleh Setiausaha Agong UMNO Datuk Dr Asyraf Dasuki menerusi satu kenyataan pada Jumaat malam.

Perkembangan terbaru ini dijangka akan meredakan suasana politik yang agak tegang kebelakangan ini berkaitan isu berkenaan.

Pada sebelah siang Jumaat Istana Negara telah mengeluarkan satu kenyataan bahawa banduan perlu memohon untuk mengurangkan hukuman atau mendapat keampunan bagi dipertimbangkan Lembaga Pengampunan pada mesyuarat akan datang.

Serentak dengan itu ia juga meminta semua pihak menghormati perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditemui wartawan untuk ulas kenyataan berkenaan meminta “baca, hadam, dan terima perintah titah Tuanku”.

BERIKUT IALAH KENYATAAN PENUH SETIAUSAHA AGUNG UMNO:

UMNO menjunjung hormat Titah Kenyataan Tuanku Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa jua kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Sebagai satu-satunya parti yang konsisten memperjuangkan dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Parti, UMNO sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

UMNO dengan penuh kerendahan diri akur atas segala saranan Titah Tuanku agar menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak, bekas Perdana Menteri yang banyak jasanya pada rakyat dan negara.

UMNO tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebagaimana Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong.

Atas prinsip menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan sebagaimana arahan Ketua Polis Negara, UMNO mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan pada 6 Januari 2025 ini.

UMNO menaruh sepenuh keyakinan atas keihsanan dan kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memberikan keadilan penuh kepada Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak.

UMNO juga ingin merakamkan penghargaan tinggi kepada seluruh Ahli UMNO yang sudahpun menyatakan komitmen tinggi untuk memberikan sokongan moral walaupun tiada arahan rasmi daripada ibu pejabat UMNO sebelum ini.

KENYATAAN MEDIA
Yang menjalankan amanah,
DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
3 JANUARI 2025



BERITA SEBELUM INI :

Debaran isu Najib menjelang Isnin…ekoran kenyataan Istana Negara dan ulasan PM

Jalan cerita isu ini nampaknya sudah cukup jelas.

Namun siapa saja boleh buat tafsiran ekoran perkembangan terbaru pada Jumaat menjelang pendengaran kes Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Rayuan,Putrajaya dan cadangan himpunan solidiriti untuk bekas Perdana Menteri itu pada Isnin ini.

Di celah suasana agak panas sekarang berkaitan isu berkenaan…Istana Negara hari ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa banduan perlu memohon untuk mengurangkan hukuman atau mendapat keampunan bagi dipertimbangkan Lembaga Pengampunan pada mesyuarat akan datang.

Serentak dengan itu Istana Negara juga meminta semua pihak menghormati perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan.

Menurutnya Sultan Ibrahim memiliki kuasa itu mengikut Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Kata Istana Negara, Agong juga berhak meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang dijatuhkan mahkamah bagi kesalahan tersebut.

Kuasa itu, kata Istana Negara, dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan sendiri oleh Agong.

Imbas balik…pada 28 Disember lalu Jabatan Peguam Negara (AGC) telah mengeluarkan satu kenyatan memberitahu permohonan Najib untuk menghabiskan baki hukuman penjaranya di rumah perlu dibuat melalui saluran yang betul.

Kata AGC, Sultan Ibrahim menitahkan agar semua permohonan pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan mesti mengikut “tatacara dan saluran yang telah ditetapkan” dan bukannya cara lain.

Difahamkan kenyataan itu dengan jelas bermaksud Najib yang kini masih jalani baki hukuman 6 tahun di dalam penjara atas kes SRC International Sdn Bhd melibatkan dana RM42 juta perlu buat permohonan baru untuk pengampunan atau jalani tahanan di rumah.

Juga difahamkan ia bermaksud tanpa sebarang permohonan baru maka sebarang proses untuk tujuan berkenaan sangkut dan tidak dapat berjalan.

Sejak kenyataan AGC itu baik Najib atau pasukan peguam beliau tidak buat sebarang makluman samaada mereka akan buat permohonan baru atau tidak kepada Lembaga Pengampunan.

Dalam pada itu tumpuan kini terus menerus kepada pendengaran di Mahkamah Rayuan di Putrajaya dijadual Isnin ini.

Ia berkait isu adendum yakni titah tambahan Yang Dipertuan Agong ke 16 Al-Sultan Abdullah yang dikatakan menitahkan Najib jalani baki hukuman enam tahun di rumah.

UMNO dan golongan tertentu dalam PAS telah merancang himpunan besar besaran di kawasan Istana Kehakiman pada hari itu sebagai tanda solidariti pada Najib.

Pada satu majlis di Wangsa Maju juga pada Jumaat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah ditanya wartawan soalan penting yang ada kaitan dengan perkembangan terbaru ini.

Soalannya ialah apakah kenyataan terbaru Istana Negara itu ada kaitan dengan perhimpunan dirancang oleh UMNO Isnin depan bagi menyokong Najib.

Jawapan ringkas beliau ialah : “baca, hadam, dan terima perintah titah tuanku”.

Kalangan pemerhati politik tafsir ulasan ringkas beliau itu bermaksud semua orang harus baca dan faham serta patuh titah Yang Dipertuan Agong.

Ikut tafsiran mereka apa jua yang timbul dalam pendengaran di Mahkamah Rayuan pada Isnin ini sudah tidak relevan samaada wujud atau tidak titah tambahan tahanan rumah Najib.

Sekalipun ada yang menanti hari Isnin ini dengan penuh debaran…pokok pangkalnya mahu tidak mahu satu permohonan baru untuk mengurangkan hukuman atau tahanan rumah atau mendapat keampunan perlu dibuat bagi dipertimbangkan Lembaga Pengampunan.

” Apa lagi kesimpulan yang boleh dibuat setelah Jabatan Peguam Negara buat kenyataan dan terbaru kenyataan Istana Negara yang senada,”kata mereka.- OLEH HIEKAL ROSLI 3/1/2025

Read more

khabar terbaru