Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada Sabtu menjawab tandatanya penting yang berlegar mengenai kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak ekoran adanya kenyataan Jabatan Peguam Negara dan Istana Negara berkaitan soal pengampunan diraja.
Nampaknya besar kemungkinan kedudukan bekas Perdana Menteri itu dalam isu mendapatkan tahanan rumah seperti yang didakwa terkandong dalam titah tambahan (adendum) akan ‘sangkut’ untuk tempoh yang tidak diketahui.
Ketua pasukan peguam bela Najib itu memberitahu setakat ini mereka belum terima arahan untuk memfailkan permohonan pengampunan baru.
Katanya buat masa ini mereka akan tumpu usaha di mahkamah berhubung dakwaan titah adendum terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.
Muhammad Shafee yang ditemui wartawan selepas satu majlis forum di Kuala Lumpur ditanya sama ada mereka akan mempertimbangkan untuk memfailkan satu lagi permohonan pengampunan diraja berikutan kenyataan Istana Negara semalam.
Semua orang sedia maklum Najib kini sedang berusaha mendapatkan perintah kebenaran daripada mahkamah untuk memulakan semakan kehakiman berhubung dakwaan adanya titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang didakwa memerintahkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.
Kes itu kini di peringkat Mahkamah Rayuan dan pendengaran dijadualkan Isnin ini.
Najib, 71, sedang menjalani hukuman penjara sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September tahun sama.
Lembaga Pengampunan kemudiannya mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta, menjadikan beliau bakal bebas pada 23 Ogos 2028.
Kemudian timbul polimek dakwaan adanya titah tambahan (adendum) Sultan Abdullah agar Najib jalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah.
Titah berkenaan yang kewujudannya masih belum disahkan secara rasmi jadi perdebatan kerana ia dikatakan dibuat di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Istana Negara dalam satu kenyataan semalam berkata sesiapa yang ingin mendapatkan pengampunan bagi banduan mesti mengemukakan permohonan kepada Lembaga Pengampunan.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan yang jelas mengambarkan bahawa Najib mesti memfailkan permohonan baru kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Agong Sultan Ibrahim.
Muhammad Shafee beri alasan memfailkan permohonan baru dengan Lembaga Pengampunan juga boleh menjejaskan kes mahkamah semasa Najib.
“Pada masa ini kami tiada arahan (untuk memfailkan permohonan baru).
“Tetapi saya boleh beritahu anda, kerana kami sedang meneruskan titah adendum, yang merupakan subjek permohonan pengampunan, (iaitu) berkait kepada permohonan semasa, kami tidak boleh membuat permohonan pengampunan yang lain.
“(Sebab) kemudian kami akan dituduh melakukan prosiding berganda. Itu akan membahayakan permohonan kami sekarang,” katanya.
Beliau menjelaskan mereka akan menyelesaikan proses rayuan semasa terlebih dahulu sebelum “mengambil pandangan lain”.
“Jika rayuan (di Mahkamah Rayuan) ditolak, maka kami akan merayu kepada Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Dari jawapan berkenaan ( misalnya jika permohonan semakan ditolak oleh Mahkamah Rayuan) dan selepas itu ia melibatkan rayuan di Mahkamah Persekutuan pula …proses mahkamah ini biasanya akan memakan masa.
Menurut pemerhati kalau ditafsir dari kenyataan Jabatan Peguam Negara dan Istana Negara kedudukan Najib dalam soal pengampunan,tahanan rumah atau lain yang berkaitan hanya boleh ditentukan menerusi permohonan baru kepada Lembaga Pengampunan.
Dalam situasi ini ramai yang merasa agak menarik untuk mendengar keputusan di Mahkamah Rayuan Isnin ini berhubung permohonan semakan Najib.
Sementara itu Muhammad Shafee tegas berpendapat sebarang keputusan dibuat Yang di-Pertuan Agong berkaitan kuasa pengampunan sama ada di dalam atau di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan, masih terikat secara perundangan dan perlu dipatuhi.
Katanya keputusan yang dibuat selepas Lembaga Pengampunan bersidang tidak mencacatkan ketetapan berkenaan.
“Baginda boleh mengemukakan titah berkaitan pengampunan dalam apa-apa keadaan sekali pun, sama ada selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan ditangguhkan atau sebagainya, selagi titah berkenaan dikeluarkan dan ia terikat secara perundangan,” katanya.- OLEH HIEKAL ROSLI
4/1/2025