Diatas kertas ia nampak mudah…namun dengar cakap Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching banyak cabaran perlu ditempoh dalam usaha kementerian berkenaan laksana Projek Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Antaranya ialah isu tanah untuk lokasi menara komunikasi.
Tahukah anda ubah lokasi sedikit rangkaian liputan sudah berbeza.
“Untuk menara komunikasi pula, aspek lokasi memang sangat penting. Kalau kita ubah lokasinya mungkin 500 meter tetapi dia punya rangkaian liputan sudah berbeza. Ini merupakan satu isu yang kita perlu atasi,”kata Nie Ching.
Atas sebab ini beliau meminta kerjasama daripada pihak Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Pejabat Daerah di kawasan terlibat untuk memperhalusi isu tanah yang menjadi antara isu dalam pelaksanaan projek JENDELA.
Menurutnya selain itu banyak projek yang menaranya sudah siap tetapi masih belum beroperasi.
“Jadi, kami telah minta pihak kontraktor ataupun pihak penyedia perkhidmatan (telco) untuk pastikan sekiranya menara sudah siap, sekurang-kurangnya mereka perlu pasang interim solution.
“Jika dalam kontrak tulis perlu disambung dengan fiber optik ataupun gentian optik tetapi kalau kedua-dua teknologi itu tidak bersedia jadi mereka perlu sekurang-kurangnya mengguna pakai teknologi seperti satelit supaya ia tidak menjadi naked tower,” katanya.
Timbalan Menteri itu berkata sehingga kini, sebanyak 1,460 daripada 1,661 menara dalam fasa satu projek JENDELA telah siap dibina manakala 1,087 menara sudah beroperasi sepenuhnya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan projek JENDELA fasa dua selepas menghadiri Program Kampung Angkat MADANI Felda Bukit Permai, di Kulai Sabtu.
“Ada kemungkinan besar fasa dua akan kick off tahun ini juga. Sudah tentu kita berharap JENDELA fasa satu dapat disiapkan dalam tahun ini,” katanya.
Ahli Parlimen Kulai itu juga berkata prestasi pihak kontraktor yang gagal menyiapkan projek mengikut jadual juga akan diambil kira dalam pemilihan pelaksana untuk JENDELA fasa kedua nanti.
“Kalau kita ikut prestasi mereka, memang itu akan menjadi satu daripada faktor untuk kita fikir siapa yang sesuai untuk membuat kerja ataupun tidak (JENDELA fasa dua),” katanya.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dilaporkan berkata wujud keperluan untuk merombak keseluruhan proses pelaksanaan Fasa dua JENDELA bagi memastikan keberkesanan program berkenaan.
Beliau berkata proses penetapan lokasi menara telekomunikasi perlu dikaji semula susulan pelbagai isu berkaitan ketidaksiapan menara dan kelewatan penyediaan kesalinghubungan oleh syarikat diamanahkan.-4/1/2025