Ini bukan perkara main main…jumlahnya sudah cukup besar.
Misalnya jika dibahagi dengan 12 bulan jumlahnya lebih 5,300 kes setiap bulan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching beritahu pada Sabtu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan sebanyak 63,652 kandungan berunsurkan penipuan dalam media sosial sepanjang tahun 2024.
“Angka 63,652 (kandungan) adalah besar dan ia berdasarkan aduan yang kami terima … tetapi, saya percaya ada banyak lagi di luar sana,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Kampung Angkat MADANI di Dewan Raya FELDA Bukit Permai di Kulai, Johor.
Beliau beritahu angka berkenaan ketika ditanya mengenai statistik penipuan di laman sosial dan deepfake yang berlaku melibatkan beberapa tokoh terkenal di negara ini.
Dalam pada itu katanya jumlah penurunan kandungan itu menunjukkan peningkatan yang ketara berbanding 6,297 kandungan pada 2023 dan 242 kandungan pada 2022.
“Jadi, sangat penting untuk kita mendidik masyarakat agar lebih peka dan prihatin, selalu buat semakan dan jika tidak pasti, jangan kongsi,” katanya.
Nie Ching berkata, antara penipuan yang dikenal pasti melibatkan kecerdasan buatan (AI) seperti deepfake, menyamar menjadi orang terkenal, video, grafik dan perkataan.
“Menerusi teknologi AI sekarang memang sangat mudah untuk buat video deepfake. Kita lihat ramai tokoh terkenal telah menjadi mangsa, seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz baru-baru ini.
Nie Ching berkata, banyak penipuan berbentuk Investment Guru, seperti yang melibatkan Zeti Akhtar kononnya beliau “berkongsi” pengalaman dan panduan dalam pelaburan yang akhirnya bertujuan memperdaya mangsa sehingga terjerumus ke dalam penipuan pelaburan.
“Sebenarnya itu cara untuk helah orang ramai menyertai kumpulan WhatsApp mereka (penipu) dan akhirnya mereka terkena dan menjadi mangsa dalam penipuan pelaburan kerana angka daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan bahawa penipuan pelaburan ialah scam yang paling besar,” katanya.
Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai dalam pada itu, menyeru penyedia platform dalam talian, seperti TikTok dan META agar menyemak serta meningkatkan usaha pemantauan, susulan peningkatan kandungan khususnya penipuan dalam talian melibatkan AI yang memudaratkan.
“Bukan kandungan dijana AI tidak boleh diguna pakai, tetapi kami harap mereka boleh fikir kaedah sekurang-kurangnya letak nota dalam hantaran itu menyatakan bahawa ia merupakan janaan AI. Mereka perlu ada satu tanggungjawab untuk pastikan kandungan yang dibuat adalah asli,” katanya.
Sebelum ini, Nie Ching dalam satu hantaran di laman Facebook meminta orang ramai tidak terpedaya dengan penyebaran video palsu deepfake berjudul “Rahsia Pelaburan Sepanjang Hayat Zeti” dalam bahasa Mandarin.
Dalam video palsu terbabit, “Zeti” memperkenalkan dirinya sebagai individu yang telah bekerja dalam sektor kewangan selama lebih 40 tahun, membentuk dasar monetari Malaysia dan menyaksikan perubahan ekonomi yang ketara.
Video itu mengajak penonton menyertai komuniti dalam talian untuk “belajar dan maju bersama” dengan menawarkan panduan saham dan pandangan ekonomi bagi membantu pengguna memahami bagaimana dasar negara dan perubahan pasaran mempengaruhi pelaburan.
Pada pertengahan Disember baru ini Nie Ching beritahu di satu majlis bahawa Malaysia merekodkan kerugian sebanyak RM1.224 bilion bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini akibat penipuan dalam talian.
“Bukannya kementerian tak berusaha untuk turunkan kandungan yang berunsur penipuan tetapi pada masa yang sama kita tak nampak ia pendekatan efektif.
“Sampai tahap Meta mengizinkan scammer menyamar sebagai AGC (Jabatan Peguam Negara) dan buat hantaran Facebook bahawa AGC kini ada pasukan petugas khas untuk membantu mangsa penipuan dapat semula kerugian mereka.
“Saya rasa hal ini keterlaluan, sudah tentu selepas bantahan kami, Meta menurunkan kandungan itu. Namun ia menunjukkan bahawa prosedur saringan oleh Meta bermasalah kerana bagaimana anda boleh membenarkan iklan yang mengatakan mereka AGC? … tanpa memeriksa latar belakang dengan teliti,” katanya.- 4/1/2025