Usaha Datuk Seri Najib Tun Razak mencabar bagi dapatkan jawapan rasmi wujud atau tidak titah adendum bekas Yang Dipertuan Agong Sultan Abdullah bagi membolehkan beliau menghabiskan baki hukuman penjara enam tahun dalam tahanan rumah telah capai kejayaan.
Penal tiga hakim Mahkamah Rayuan pada Isnin tengahari dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan rayuan bekas Perdana Menteri untuk memulakan prosiding semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi dalam usaha mengesahkan kewujudan titah berkenaan.
Dari tiga hakim berkenaan Datuk Azhahari Kamal Ramli bersama-sama Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril benarkan rayuan manakala Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel bersidang mencapai keputusan menentang.
Panel itu kemudian mengarahkan semakan kehakiman dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk pengurusan kes pada 13 Januari ini dan didengar di hadapan hakim berlainan.
Keputusan ini bermakna harapan Najib jalani tahanan di rumah seperti dititah dalam adendum bekas Agong semakin cerah.
Ketua peguam bela Najin yakni Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan kemenangan keputusan Mahkamah Rayuan ini ‘satu sinar harapan’.
Beliau harap setelah beberapa kali kalah di mahkamah sebelum ini sinar ini akan berterusan untuk selanjutnya kes ini dan akhirnya dapat bawa balik Najib jalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.
Ditanya berapa lama lagi beliau jangka Najib boleh pulang ke rumah jalani baki tahanan,Shafee berkata ia bergantung pada keputusan hakim (Mahkamah Tinggi) nanti.
Katanya jika menang disitu mungkin dalam masa sebulan dan ia bergantung pada hakim.
Ditanya mengenai reaksi Najib dalam mahkamah selepas keputusan hakim,Shafee kata beliau memberikan isyarat bagus ‘two-thumbs up’.
“Beliau sangat gembira dan lega kerana akhirnya mereka (institusi kehakiman) mengiktiraf beberapa unsur ketidakadilan yang diletakkan terhadapnya.
“Jadi beliau kini dapat ‘bernafas’ semula.(Kebelakangan ini) beliau tidak dapat tidur di penjara kerana bimbang sama ada mendapat perbicaraan adil dan pendengaran adil sekali lagi,” katanya.- OLEH HIEKAL ROSLI