Wednesday - 8, January 2025

Isu Najib…roda tanda tanya sedang ligat berputar

Share

Kalangan wartawan yang sering membuat liputan politik cukup sedia maklum dengan stail tokoh veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah.

Ketua UMNO Bahagian Gua Musang dan bekas Menteri Kewangan yang lebih dikenali sebagai “Ku Li” sekarang ini memang jarang sekali buat sebarang kenyataan media berkaitan politik semasa.

Sebab itu agak menarik bila tiba tiba orang lama ini terdorong untuk mengulas isu titah adendum selepas Datuk Seri Najib Tun Razak menang kes rayuan beliau di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada tengahari Isnin.

Pada jam 4.30 petang Ku Li muatnaik satu kenyataan di laman facebook beliau.

Dalam kenyataan empat pekara itu ia tidak lain tidak bukan juga berkisar tentang pelbagai persoalan yang turut menjadi tantandaya kalangan ‘orang tepi jalan’ lain.

KENYATAAN RASMI TENGKU RAZALEIGH HAMZAH :

Dengan menerima berita perihal keputusan mahkamah tentang Dato Seri Najib Razak hari ini (6 Januari) , dan juga dengan tersebarnya surat dari pejabat Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang bertarikh 4 hb Januari 2025 menyatakan dengan terang bahawasanya “addendum” tentang penahanan rumah Dato Seri Najib Razak wujud.

Beberapa persoalan sekarang timbul dan ianya amat merisaukan kita semua dengan apa yang terjadi sekarang.

Sejak pagi lagi saya telah dihubungi ramai tentang isu-isu yang timbul bersabit dengan kedua-dua perkara ini iaitu tahanan rumah yang ternyata wujud dan juga keputusan mahkamah pada pagi ini.

Persoalan yang timbul:

  1. Bagaimanakah Kerajaan tidak mempunyai maklumat tentang kewujudan “addendum” tahanan rumah yang telah dititahkan oleh Yang Di-Pertuan Agong yang ke-16?
  2. Apakah kesan kenyataan yang telah dibuat oleh PMX di parlimen baru-baru ini perihal perkara ini?
  3. Kenyataan Peguam Negara melalui titah Yang Di-Pertuan Agong yang ke-17 agar apa-apa rayuan untuk Dato Seri Najib Razak dibuat melalui proses yang baru, apakah kesan undang-undang setelah mengetahui bahawa terdapat tambahan bukti yang telah disahkan oleh istana Pahang?
  4. Apakah reaksi dan tindakan lanjut UMNO dan kedudukannya sebagai sebahagian daripada Kerajaan Campuran dengan adanya pelbagai bukti yang baharu ini?

Di celah ini sejak keputusan Mahkamah Rayuan kalau rajin selak di setiap platform media sosial kita boleh baca dan dengar segala macam komentar dan pandangan oleh netizen,penyokong kerajaan,pembangkang dan orang atas pagar.

Kalau orang level Ku Li pun boleh tertanya tanya…apa lagi kalangan orang biasa.

Biasalah bab seperti ini dihangatkan lagi dengan ‘tembak menembak’ politik.

Namun tolak sebelah segala macam prasangka dan dakwa dakwi…ramai yang merasa satu penjelasan mantap dan menyeluruh yang boleh leraikan segala macam tandatanya harus dibuat oleh kerajaan atau pihak berkuasa berkenaan.

Lanjutan dari itu…cuba bayangkan siapa yang tidak jadi lagi bertambah bingung bila dengar penjelasan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution pada petang Isnin.

Sebagai menteri yang jaga portfolio Jabatan Penjara beliau memberitahu fakta yang ada padanya.

Katanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Penjara tidak menerima sebarang titah daripada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 terkait dengan Najib bagi menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Menerusi satu sidang akhbar khas beliau menjelaskan KDN dan Jabatan Penjara hanya menerima arahan bagi mengurangkan tempoh pemenjaraan dan denda bekas Perdana Menteri itu menerusi surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri yang merupakan sekretariat kepada Lembaga Pengampunan pada 2 Februari 2024.

Katanya, surat tersebut merupakan arahan rasmi bagi melaksanakan keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada ketika itu.

“Perintah ini adalah arahan rasmi untuk melaksanakan keputusan Lembaga Pengampunan dan ditandatangani oleh Pengerusi Lembaga Pengampunan iaitu Al Sultan Abdullah serta disaksikan oleh seorang pegawai, Dr Zaliha Mustafa.

“Dalam perintah tersebut, dua keputusan utama dinyatakan tempoh pemenjaraan Datuk Seri Najib dikurangkan sehingga 23 Ogos 2028 dan denda dikurangkan kepada RM50 juta, dengan syarat sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara ditambah setahun sehingga 23 Ogos 2029.

“Surat tersebut tidak menyebut apa-apa mengenai tahanan rumah. Oleh itu, Jabatan Penjara hanya melaksanakan apa yang terkandung dalam perintah tersebut,” katanya.

“Minit mesyuarat Lembaga Pengampunan adalah dokumen rahsia besar, tetapi saya boleh mengesahkan ia tidak mengandungi apa-apa tentang tahanan rumah.,”tambahnya.

Beliau berkata demikian bagi menyangkal dakwaan Ketua pasukan peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mendakwa KDN tidak melaksanakan keputusan berkaitan tahanan rumah.

Saifuddin menegaskan pihaknya hanya melaksanakan perintah yang sahih dan rasmi seperti yang diterima daripada Lembaga Pengampunan.

Dalam pada itu Shafee secara terbuka dalam sidang akhbar di luar Mahkamah Rayuan dakwa ada pihak yang ‘sorok’ titah adendum Yang Dipertuan Agong ke 16 Sultan Abdullah.

Baginda Sultan menerusi kenyataan oleh Istana Pahang telah mengesahkan adanya adendum itu.

Bagi Shafee perbuatan itu,jika benar, adalah satu kesalahan besar.

Makanya apa…mengapa,bagaimana,itu ini dan segala macam tandatanya lain sedang ligat berlegar.- OLEH HIEKAL ROSLI 7/1/2025

Read more

khabar terbaru