Seorang penjawat awam wanita kerugian RM217,080 apabila hanyut dalam melayari cinta palsu sindiket ‘love scam’ yang menyamar sebagai lelaki Switzerland bekerja sebagai pramugara baru-baru ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah, pihak polis daerah Segamat menerima laporan daripada mangsa pada 5 Januari 2025 mengenai kejadian.
“Mangsa wanita warga tempatan berusia 41 tahun itu telah terperdaya dengan kerugian sebanyak RM217,080 setelah dijanjikan diberikan hadiah oleh rakan yang baru dikenali.
“Mangsa berkenalan dengan suspek sekitar Disember 2024, mangsa telah berkenalan dengan suspek iaitu seorang lelaki di aplikasi TikTok dan suspek mengaku seorang warganegara Switzerland serta bekerja sebagai pramugara.
“Setelah berkenalan hampir seminggu, suspek telah berjanji untuk mengirimkan hadiah berupa wang tunai berjumlah RM4 juta, barang kemas, telefon bimbit dan kasut kepada mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Zamry berkata, pada 27 Disember 2024, mangsa telah dihubungi oleh seorang lagi suspek yang berperanan sebagai ejen penghantaran hadiah.
Katanya, ejen tersebut memaklumkan mangsa perlu membuat bayaran untuk pembayaran sijil penggubahan wang haram, pembayaran pakej penghantaran, urusan import duti resit pengirim dan bayaran pakej insuran.
Tambah Ahmad Zamry, mangsa telah melakukan 48 kali transaksi pemindahan wang ke akaun-akaun bank yang diberikan oleh suspek.
“Mangsa telah sedar dirinya ditipu kerana sehingga kini mangsa tidak menerima hadiah dan wang yang dijanjikan oleh suspek sebelum membuat laporan polis,” katanya.
Kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-7/1/2025