Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 4,699 permohonan untuk menurunkan kandungan berunsur penipuan dan perjudian di media sosial dalam tempoh tujuh hari bermula 1 Januari lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, angka itu adalah yang terkini dicatatkan oleh MCMC setakat jam 9 pagi tadi.
Katanya, daripada 4,699 sebanyak 72 peratus berkait isu judi dalam talian dan 14 peratus hantaran berunsur penipuan atau scam.
“Kedua-dua ini sudah 86 peratus daripada semua kandungan yang diminta diturunkan,” katanya ketika sidang media selepas menghadiri Persidangan Kawal Selia Antarabangsa 2025 (IRC 2025), katanya.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Terdahulu dalam ucapannya, Fahmi berkata, MCMC berjaya menyekat lebih 3.1 billion panggilan scam dan memproses hampir 12,000 aduan pada 2024.
“Perkara itu adalah satu pencapaian penting yang menegaskan komitmen Malaysia dalam menangani ancaman siber dan memupuk persekitaran digital yang lebih selamat,” katanya.
Tambahnya, adalah penting untuk mengimbangi kemajuan teknologi dengan peraturan yang kukuh bagi memastikan pertumbuhan teknologi mampan dapat diteruskan.
Katanya, walaupun teknologi memacu kemajuan, namun ia perlu disokong oleh peraturan yang melindungi pengguna dan menggalakkan inovasi.
“IRC 2025 adalah antara usaha Malaysia untuk bekerjasama dengan rakan serantau ASEAN bagi menetapkan piawaian digital secara bersama dan memupuk inovasi.
“Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia berhasrat memimpin pembangunan dasar serantau yang memberi tumpuan kepada keselamatan siber dan akses teknologi yang saksama bagi memastikan rantau ini kekal berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Fahmi turut menyeru pihak berkepentingan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam membentuk rangka kerja peraturan yang mengimbangi inovasi dengan perlindungan pengguna.
“Kita mesti secara bersama-sama menangani kerumitan era digital untuk mewujudkan masa depan yang lebih terhubung, selamat, dan inklusif,” katanya.
Pada acara itu, Fahmi turut merasmikan robot kecerdasan buatan Malaysia yang diberi nama Ahmad.-7/1/2025