Portal pelancongan terkenal dunia, Lonely Planet, menyenaraikan Pulau Pinang sebagai salah satu daripada tujuh tempat terbaik untuk dilawati di Asia Tenggara.
Menerusi laman webnya 2 Jan lepas, Lonely Planet menggambarkan Pulau Pinang sebagai gabungan budaya berwarna-warni dengan pengaruh Melayu, Cina dan India yang terserlah dalam makanan, seni bina dan tradisi.
“Ibu negeri pulau tropika itu, George Town berjaya mengubah warisannya menjadi sesuatu yang dapat menarik pelancong namun tetap mengekalkan keasliannya. Di satu bandar, anda boleh melawat rumah warisan Cina, masjid, kuil Hindu, dan bangunan kolonial British.
“Di luar George Town, Taman Negara Pulau Pinang menawarkan pantai yang indah dan laluan mendaki melalui hutan,” menurut laman web tersebut.
Selain Pulau Pinang, Lonely Planet turut menamakan Taman Negara Khao Sok, Thailand di tempat pertama selain Cao Bang, Vietnam; Siargao, Filipina; Luang Prabang, Laos; Amed dan Bali serta Gili Air di Indonesia dalam senarai itu.
Sementara itu, Bernama melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai mengucapkan tahniah kepada Pulai Pinang atas pencapaian tersebut.
“Tahniah kepada Pulau Pinang kerana telah disenaraikan sebagai satu daripada tujuh tempat terbaik untuk dilawati di Asia Tenggara oleh Lonely Planet,” katanya.
Pada 25 Julai lepas, Lonely Planet turut menamakan Pulau Pinang sebagai dua tempat terbaik di Asia Tenggara untuk pengembara solo, dengan menyatakan makanan jalanan yang beraneka dan budaya tempatan yang kreatif sebagai daya tarikan utama pulau itu.-8/1/2025