Wednesday - 8, January 2025

Projek HSR diteruskan jika dibiayai swasta sepenuhnya

Share

Pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura dapat diteruskan sekiranya dibiayai sepenuhnya syarikat swasta tanpa membebankan kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen kerajaan terhadap projek mega terpaksa ditangguhkan buat masa ini ekoran perlu menyelesaikan beberapa isu tertunggak.

Katanya, kerajaan kini lebih memberi tumpuan terhadap projek membabitkan rakyat seperti infrastruktur asas dan mitigasi banjir.

“Mengenai HSR, pendirian kami adalah untuk menjemput pembabitan penuh sektor swasta yang mampu memberikan komitmen sepenuhnya kepada penyambungan projek ini

“Fokus kerajaan adalah isu seperti mitigasi banjir, pendidikan dan kesihatan yang menjadi keutamaan, sekurang-kurangnya untuk tempoh satu ke dua tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan (MoT) menerima cadangan berhubung projek tersebut daripada beberapa syarikat swasta, namun tidak ada sebarang keputusan dimuktamadkan setakat ini.

Jelas beliau, kerajaan akan menanggung kos secara minimal dan selebihnya ditanggung oleh syarikat swasta yang bersetuju sekiranya projek itu diteruskan.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kabinet akan membuat keputusan sama ada untuk menghidupkan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura menjelang akhir Disember 2024 atau awal Januari 2025.

Bagaimanapun, katanya kertas dasar mengenai projek itu yang bertujuan untuk mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua bandar kepada 90 minit tidak akan menentukan sama ada projek itu benar-benar akan dihidupkan semula.

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sepanjang 350km selepas kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan Malaysia sebelum perjanjian projek itu tamat pada 31 Disember 2020.

Jajaran yang melibatkan stesen di Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor itu dipersetujui secara rasmi antara Malaysia dan Singapura pada 2013 dan dijangka siap pada 2016.

Susulan pertukaran kerajaan pada 2018, Putrajaya mengumumkan projek itu akan dikaji semula berikutan kebimbangan terhadap kos dan implikasi kewangan kepada negara.

Kerja-kerja projek itu digantung pada September 2018 dan pada 2021, projek itu ditamatkan selepas kedua-dua kerajaan gagal bersetuju dengan perubahan yang diminta oleh Malaysia.

Malaysia terpaksa membayar Singapura S$102.8 juta sebagai pampasan untuk kos yang ditanggung.-7/1/2025

Read more

khabar terbaru