Friday - 10, January 2025

Lagi kisah kena scam pelaburan… kontraktor rugi RM5.9 juta

Share

Sekarang ini hari-hari kita baca kisah rakyat Malaysia kena scam pelaburan yang bukan sikit-sikit… juta-juta jumlahnya.

Yang pelik tu… macam mana orang ramai boleh percaya dan pindah duit jutaan ringgit kepada no akaun yang hanya dapat daripada orang yang tidak dikenali.

Ini kisah terbaru di Kajang Selangor, apabila seorang kontraktor syarikat swasta kerugian lebih RM5.9 juta selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri menerima satu laporan di Kajang yang dibuat mangsa berusia 58 tahun, semalam.

“Mangsa diarahkan suspek untuk memuat turun aplikasi bernama A-trade yang didapati dalam Apple Store dan dia perlu memastikan amaun di dalam akaunnya mencukupi bagi membeli unit saham yang diingini.

“Mangsa telah membuat pindahan wang sebanyak RM5,900,506.48 melalui 30 transaksi ke dalam lapan akaun syarikat berbeza secara berperingkat bermula September hingga November 2024,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Hussein berkata, mangsa yang berasa tertipu selepas tidak menerima pulangan keuntungan yang dilaburkan kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Kajang, semalam.

Susulan itu, katanya, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau sehubungan itu menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran pelaburan menerusi media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, khususnya melalui aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.-9/1/2025

Read more

khabar terbaru