FOKUS

Jawapan yang ‘tak jawab’…soalan terpaling hangat isu adendum

Entah mengapa nampaknya susah sangat untuk mendapat satu jawapan rasmi pada soalan ‘terpaling hangat’ dalam isu adendum tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sedangkan satu Malaysia tengah tertunggu tunggu hendak mendapat khabar sahih dimana titah adendum itu ‘menghilang diri’ selama hampir setahun lamanya.

Mana mana wartawan yang ditugaskan mencari jawapan itu sekarang tentu terpaksa balik pejabat mengeluh panjang.

Bukan satu bukan dua…tetapi boleh kata menjadi urusan profesional semua media sedang berlumba lumba dalam pencarian jawapan itu.

Jadi jangan sesiapa nak marah kalau ada saja budak reporter yang terus menerus gatal mulut cuba nak jolok dan korek bab ini.

Soalan ini memang bertambah hangat sejak prosiding Mahkamah Rayuan,Putrajaya pada 6 Januari dimana disahkan titah tambahan Yang Dipertuan Agong ke 16 sahih wujud.

Sementara nak menanti 13 Januari ini bila mana pengurusan semakan kes ini dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur segala macam spekulasi sedang berlegar.

Selain menjadi topik kedai kopi isu ini juga menguasai topik berkaitan politik di segala platform media sosial.

Masalahnya sekarang…ia ibarat kata orang Inggeris ‘so near but yet so far’

Sekalipun jawapan yang di cari cari itu nampak amat susah untuk dicapai…ia sebenarnya terbentang di depan mata.

Masalahnya sekarang semua jawapan dalam bab ini ‘tak jawab’ tandatanya sebenar.

Rabu lalu Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kerajaan sudah menafikan kerajaan sembunyikan adendum yang menitahkan bekas Perdana Menteri itu jalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.

Katanya beliau sebagai anggota Jemaah Menteri juga tidak pernah menerima, melihat atau dimaklumkan mengenai kewujudan dokumen berkenaan.

“Dokumen yang dimaksudkan itu sejujurnya tidak disorok. Saya sendiri sebagai Menteri Komunikasi tidak ada menerima, melihat atau dimaklumkan tentang dokumen terbabit, saya percaya perkara ini oleh sebab ia membabitkan Lembaga Pengampunan.

“Kita juga ambil maklum bahawa Mahkamah Rayuan telah memutuskan supaya kes ini diremit semula ke Mahkamah Tinggi. Maka kita perlu mengambil pandangan dan nasihat daripada Peguam Negara tentang beberapa perkara yang tidak akan memperjudiskan perjalanan kes tersebut,” katanya.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustapha yang juga ahli Lembaga Pengampunan yang hadir pada mesyuarat berkenaan 29 Januari 2024 turut beritahu hal yang sama.

“Saya tidak sembunyikan apa-apa, malah saya sendiri tidak pernah melihat titah adendum yang diperkatakan itu,” katanya pada wartawan Jumaat.

“Saya menyedari ada tuduhan dilemparkan terhadap saya berhubung perkara itu.

“Sebenarnya, saya ingin menjelaskan bahawa saya sama seperti menteri lain yang tidak melihat dokumen yang disebut sebagai titah adendum itu. Jadi, saya tidak menyembunyikan apa-apa pun.

“Saya rasa kenyataan ini bagi menjawab persoalan berkenaan dan saya tidak mahu bercakap lebih daripada itu,” katanya.

Sebelum itu Menteri Dalam Negeri Datuk Saifuddin Nasution tampil buat sidang akhbar pada petang 6 Januari memberitahu Jabatan Penjara yang diduduk bawah kementeriannya tidak menerima sebarang titah tambahan.

Beliau sebaliknya beritahu pihak penjara hanya menerima surat daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri berkaitan pengurangan hukuman dan denda membabitkan Najib.

“Pada 2 Februari 2024, KDN khususnya Jabatan Penjara, kita menerima surat daripada BHEUU iaitu sekretariat dalam Lembaga Pengampunan dan dalam surat itu ada dua perkara, pertama disertakan minit mesyuarat dan kedua ialah perintah,”katanya.

Di celah ini seorang pemimpin PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin bikin kejutan pada Khamis dengan mencadangkan langkah mudah untuk ‘tutup buku’ cerita tersebut adalah dengan kerajaan mendedahkan butiran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan kepada umum.

Shamsul yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, ia bagi memberi penjelasan sebenar mengenai titah tambahan dikeluarkan Yang diPertuan Agong ke-16.

Katanya, selain itu, ia juga sebagai langkah bagi memastikan ketelusan dan menghalang sebarang manipulasi proses untuk kepentingan politik.

Namun cadangan itu dimatikan oleh Dr Zaliha yang tegas berkata kerajaan tidak akan melakukannya kerana minit mesyuarat Lembaga Pengampunan adalah sulit.

“Jadi kita tak boleh buat perkara itu (minit mesyuarat) open lah ya. Itu hanya hak Lembaga Pengampunan,” katanya pada Jumaat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditemui wartawan selepas satu majlis di PWTC Jumaat enggan ulas mengenainya.

Memanglah langkah dedah minit mesyuarat penting seperti itu bukan menjadi amalan kerajaan.

Kalau buka semua minit mesyuarat itu maka apa juga perbincangan sulit dan sensitif dalam mesyuarat berkenaan yang disertai oleh Yang Di Pertuan Agong ke 16 akan terdedah kepada umum.

Sebenarnya kalangan wartawan sudah terlalu hampir dengan jawapan yang dicari bila mereka berkampong di Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025 di PICC di Putrajaya pada Rabu lalu.

Pada majlis disempurnakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ia dihadiri oleh ramai tokoh institusi kehakiman dan badan perundangah negara.

Antara hadirin yang diintai sakan oleh para wartawan waktu itu ialah bekas Peguam Negara Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Peguam Negara sekarang , Datuk Mohd Dusuki Mokhtar.

Namun mereka terpaksa pulang tangan kosong.

Ini kerana kedua mereka tegas mengelak ulas ketika diajukan soalan mengenainya.

Ahmad Terrirudin hanya kata “no, no, no…” manakala Mohd Dusuki kata “saya tidak mahu komen”.

Lojiknya Ahmad Terrirudin yang kini sudah jadi Hakim Mahkamah Persekutuan tentu sekali tahu segala butiran pasal adendum berkenaan.

Beliau ialah Peguam Negara waktu mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan Najib berlangsung dan selepas itu masa adendum dititahkan oleh Sultan Abdullah.

Juga agak mustahil sebagai Peguam Negara yang berkhidmat sekarang Mohd Dusuki tidak tahu butiran mengenai isu yang hangat ini.

Kita boleh andaikan kedua mereka mempunyai sebab tersendiri dari segi peraturan kerja atau lain lain tidak mahu ulas hal yang semua orang ingin tahu itu.

Namun Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Pengarah Komunikas UMNO Datuk Lokman Nor Adam secara terbuka menerusi Youtube pada malam 6 Januari mendakwa adendum itu tidak disorok.

Dakwanya adendum itu sejak dititahkan oleh Sultan Abdullah hujung Januari 2024 selama ini ‘sangkut’ di pejabat Peguam Negara.

Juga dakwanya ia tidak dipanjangkan ke mana mana pihak selepas itu kerana Peguam Negara waktu itu Ahmad Terrirudin berpendapat titah tambahan itu tidak sah sebab ia dibuat di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan.

“Maka tak timbul titah (adendum) ini disembunyikan…”,kata Lokman.

Apa yang dicakap oleh Lokman dalam Youtube https://www.youtube.com/watch?v=yUvqHjlRWGI itu agak meyakinkan.

Cuma sudah menjadi amalan profesional media maklumat panas seperti ini perlu disahkan oleh pihak berkuasa berkenaan.

Apa nak buat dua Hamba Allah berkenaan yang boleh bagi semua jawapan berkaitan enggan buka mulut.

Jawabnya…spekulasi jalan terus.- OLEH HIEKAL ROSLI

11/1/2025

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button