FOKUS

Semua menteri UMNO sedia beri keterangan kes adendum Najib

Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Jumaat malam putuskan semua Menteri Kabinet daripada parti itu bersedia memberi keterangan di Mahkamah Tinggi dalam prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan Titah Adendum, Datuk Seri Najib Razak.

Serentak itu UMNO juga akan terus memohon ihsan dan perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan pengampunan penuh kepada bekas Perdana Menteri itu, selaras dengan kuasa prerogatif di bawah Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini dimaklumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurutnya UMNO yakin Mahkamah Tinggi akan bertindak bebas dan adil untuk menilai keabsahan kewujudan Titah Adendum.

“UMNO merakamkan rasa syukur dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan titah dendum.

“UMNO selaku satu-satunya parti yang termaktub di dalam Perlembagaan partinya untuk mempertahankan Institusi Raja-raja Melayu akan sentiasa meletakkan keutamaan dan penghormatan tertinggi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Pada 6 Jan lalu Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Najib untuk memulakan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi memaksa kerajaan menguatkuasakan titah yang didakwa oleh Yang di-Pertuan Agong sebelum ini yang membolehkan Najib menghabiskan baki hukuman penjara di rumah.

Sepucuk surat daripada istana Pahang diserahkan kepada mahkamah, yang mengesahkan titah tambahan itu wujud.- 11/1/2025

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button