Monday - 21, April 2025

Capaian internet di Pahang lebih meluas bila JENDELA fasa 1 operasi sepenuhnya April ini

Share

Penduduk Pahang tentu gembira mendengar khabar kemajuan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa 1 negeri itu yang akan meluaskan lagi capaian internet.

Jika semua berjalan lancar pelan JENDELA fasa satu itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang April ini.

Hal ini dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal selepas Majlis Penyerahan Pembinaan 45 Menara Telekomunikasi Baharu bagi projek JENDELA Fasa Satu oleh Kumpulan EDOTCO di Sungai Pandan, pada Jumaat.

Katanya setakat ini 144 daripada 191 menara telekomunikasi yang siap dibina itu sudah beroperasi sepenuhnya.

Hanya berbaki 47 menara telekomunikasi yang dijangka beroperasi secara berperingkat.

“Saya dah maklumkan kepada pihak berkaitan semua menara harus siap dengan akses komunikasi selewat-lewatnya suku pertama tahun ini.

“Maknanya 1 April ini semua menara dah beroperasi sepenuhnya, sekiranya ada masalah kelewatan saya minta buat inisiatif secara interim,” katanya.

Dalam pada itu, Fadzli mengharapkan struktur stesen pemancar 5G yang seimbang di semua daerah di negeri itu khususnya di Raub, Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Maran dan Bera.

Katanya ia bagi memastikan masyarakat menikmati akses Internet yang baik dan memperkukuh keyakinan pelabur.

“Kalau dalam industri perkilangan 5G bantu mempercepat urusan dan pekerjaan, jadi saya dah nyatakan hasrat kepada DNB (Digital Nasional Berhad) agar lihat secara terperinci taburan pembinaan struktur pemancar 5G, khususnya di Raub, Cameron Highlands, Lipis, Jerantut, Maran dan Bera.

“Enam daerah ini kurang berbanding yang lain…kita tak mahu ada daerah yang tertinggal terutamanya dalam capaian telekomunikasi kerana ini keperluan semua orang,” katanya.

Beliau turut memaklumkan sedang menanti kemas kini daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkait JENDELA fasa dua di negeri itu.-11/1/2025

Read more

khabar terbaru