“Tidak ada sesiapa yang terlepas daripada apa-apa tindakan undang-undang di negara ini termasuk anak menteri.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menegaskan perkara itu bagi menjawab dakwaan berhubung kes ugutan jenayah terhadap anaknya melibatkan seorang wanita pada 1 Januari baru ini.
Justeru itu, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menyiasat perkara itu sekiranya terdapat laporan seperti didakwa.
“Anak saya tidak mengatasi undang-undang. Kalau ada laporan terhadapnya maka tanggungjawab polis untuk menyiasat setelus dan seadilnya.
“Merujuk kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini, bahawa kertas siasatan sudah pun disempurnakan dan sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara, biarkan proses mengambil tempat.
“Tapi prinsip yang saya pegang adalah semua kita ini tidak kebal undang-undang, tidak mengatasi undang-undang termasuk anak saya sendiri. Jika siasatan ada asas, biar proses mengambil tempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Tinjauan Gate Kod QR MyBorderPass dan Sistem Smart Q di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pagi Sabtu.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain pada Khamis mengesahkan kertas siasatan kes tersebut telah disiapkan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kesalahan.
“Kertas siasatan kes ini sudah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 6 Januari lalu selepas laporan polis yang dibuat oleh pengadu pada 1 Januari lalu,” katanya.
Menurutnya pihak pendakwaan mengarahkan pegawai penyiasat mendapatkan laporan pemeriksaan kandungan wanita yang dikatakan diugut oleh anak menteri berusia di penghujung 20-an itu.
Katanya, siasatan awal mendapati anak menteri itu sudah bernikah dengan wanita itu.
“Kita juga sedang menunggu pengesahan sijil perkahwinan mereka bagi membantu siasatan yang dibuat,” kata Razarudin lagi.
Pengadu membuat laporan polis pada 1 Januari lalu dan siasatan dibuat bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan ugutan jenayah.- 11/1/2025