
Ini penjelasan PM pasal isu adendum tahanan rumah Najib yang riuh sekarang…
Mungkin kerana berucap di satu majlis terbuka pada Sabtu yang dihadiri ramai orang maka Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak beri rentetan jalan cerita yang terperinci ketika tampil beri penjelasan mengenai isu adendum tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak.
Tentunya ia lebih jelas dan mudah difahami jika Perdana Menteri hurai satu persatu dari awal hingga akhir mengenai adendum yang kini menjadi bahan bualan dan mencuri perhatian ramai.
Penjelasan ini dianggap penting gara gara pelbagai spekulasi berlegar termasuk dakwaan kerajaan sorok adendum yang dititahkan oleh Yang Dipertuan Agong ke 16 yakni Sultan Abdullah.
Anwar telah mengulas isu berkenaan ketika berucap pada Program Muhibbah MADANI Anjuran Yayasan Muhibbah Malaysia di Bandar Perda, di Bukit Mertajam.
Apapun intipati penting penjelasan itu ialah Perdana Menteri menafikan dakwaan kononnya kerajaan sorok dokumen yang Sultan Abdullah titahkan agar bekas Perdana Menteri jalani baki hukuman menerusi tahanan rumah.
Beliau juga dipercayai memberitahu bahawa Peguam Negara (waktu itu) tafsir adendum berkenaan ‘tak sah’ kerana ia dibuat di luar mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Ini berdasarkan pada penjelasanya bahawa Peguam Negara ada beri nasihat kepada Agong (Sultan Abdullah) mengenai adendum berkenaan.Menurut Perdana Menteri beliau hadir sama waktu itu.
“(Nasihat itu) apa-apa keputusan (titah adendum) adalah keputusan mutlak Yang di-Pertuan Agong…tetapi dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan…tidak di luar,” katanya.
Anwar tidak menyebut nama Peguam Negara berkenaan, namun penjelasan itu dipercayai merujuk kepada penjawat jawatan ketika itu Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Ahmad Terrirudin kini adalah Hakim Mahkamah Persekutuan.
Beliau diganti oleh Datuk Mohd Dasuki Mokthar berkuatkuasa 12 November 2024.
Mesyuarat Lembaga Pengampunan dipengerusikan Sultan Abdullah yang beri pengurangan hukuman penjara dari 12 tahun kepada 6 tahun dan pengurangan denda RM210 juta kepada RM50 juta kepada Najib ialah pada 29 Januari 2024.
Dokumen adendum pasal tahanan rumah dititahkan oleh baginda pada esoknya 30 Januari.
Menurut Anwar adendum itu dihantar (oleh Sultan Abdullah) kepada Peguam Negara dan bukan kepadanya.
“Surat tu dihantar kepada Peguam Negara, bukan kepada saya , (kerana saya) bukan kepada ahli Lembaga Pengampunan.
Kemudian bila berlaku pertukaran Yang Dipertuan Agong dari Sultan Abdullah kepada Sultan Ibrahim adendum itu diserahkan oleh Peguam Negara kepada Istana Negara.
“Dan Peguam Negara kemudian bila Agong ganti, diserah kepada Istana Negara, kerana Agong (Sultan Ibrahim) yang (seterusnya) pengerusikan (Lembaga Pengampunan).
Itu keadaan dia, bukan kita sorok,” kata Perdana Menteri.
Beliau juga beritahu sekalipun kini kes mahkamah masih berjalan Najib masih boleh kemuka rayuan pengampunan baru kepada Sultan Ibrahim.
Anwar memberitahu beliau merasa perlu untuk memberi penjelasan berikutan banyak fitnah yang berlegar mengenai isu ini.
Katanya sebelum beliau enggan mengulas dan membahaskan berhubung titah adendum kerana ia di bawah bidang kuasa mutlak Yang di Pertuan Agong ke-17 yang tidak membolehkannya mengatasi institusi diraja.
“Soal (titah) adendum, di sini baru saya nak jawab… dua minggu saya tak jawab yang kita kena faham macam mana undang-undang kita.
“Siapapun, bila dia hukum masuk penjara, dia boleh rayu kepada Raja sebelum keputusan dibuat oleh Lembaga Pengampunan.
Anwar juga beritahu asalnya beliau ialah orangnya yang bawa agenda pasal kes Najib pada mesyuarat Lembaga Pengampunan.
Katanya kalau beliau tidak bawa maka tidak ada agenda pasal Najib dalam mesyuarat itu.
“Dalam kes Datuk Seri Najib, ada dikemukakan rayuan dan saya membawanya (agenda itu) dalam mesyuarat (Lembaga Pengampunan) tahun lalu untuk diteliti (Yang di-Pertuan Agong ke-16) dengan mengemukakan semua laporan berkaitan.
“Sebab itu kita tidak boleh bahas dalam Parlimen, apatah lagi yang mempengerusikan (sebelum ini) Yang di-Pertuan Agong dulu dan (Pengerusi Lembaga Pengampunan) sekarang (adalah) Yang di-Pertuan Agong (sekarang)…bukan sebab kita sorok,” katanya.
Perdana Menteri persoal sikap pemimpin pembangkang yang seolah-olah menyalahkan beliau berhubung isu titah adendum.
Beliau hairan mengapa dirinya dipersalahkan, sedangkan beliau sendiri pernah membentangkan rayuan Najib ke mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ke 16.
Anwar imbas kembali yang suruh siasat Najib ialah pada zaman Tun Mahathir Mohamad Perdana Menteri,didakwa di mahkamah zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin manakala dihukum zaman Datuk Seri Ismail Sabri.
‘Yang salah siapa…Anwar Ibrahim. Ini kerja apa ni.
“Ini dia dunia sekarang, ada orang kata Anwar harus ditangkap dan harus dihukum gantung. Ini politik sekarang ni, saya tak ada masalah, tapi apa dia yang PAS ni punya hentam Najib dari rambut sampai kaki, la (sekarang) ni junjung kerana semata mata politik,” katanya.- OLEH HIEKAL ROSLI 11/1/2025
INI ADALAH LAPORAN BERITA HARIAN PADA 10 DISEMBER 2024 YANG ADA KAITAN DENGAN PENJELASAN PERDANA MENTERI ISU ADENDUM PADA SABTU.
PADA LAPORAN BERKENAAN ANWAR AKUI DI SIDANG DEWAN RAKYAT BELIAU ADA BINCANG SOAL ADENDUM DENGAN YANG DIPERTUAN AGONG SULTAN IBRAHIM.
Titah Adendum: Anwar akui ada bincang dengan Sultan Ibrahim
Oleh Muhammad Yusri Muzamir – Disember 10, 2024 @ 4:46pm
Anwar (kiri) ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru, semalam. – PMO
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan isu mengenai pengampunan Datuk Seri Najib Razak termasuk berkait Titah Adendum ada dibincangkan beliau bersama Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Perkara itu disahkan Perdana Menteri ketika menjawab soalan lisan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak mengesahkan sama ada wujud atau tidak Titah Adendum untuk membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara enam tahun sebagai tahanan di rumah.
Justeru, Perdana Menteri berkata beliau menyerahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim untuk memutuskan mengenai isu kewujudan Titah Adendum berkenaan.
Mengulas lanjut, katanya perkara itu dikemukakan beliau bagi tujuan pertimbangan Sultan Ibrahim untuk pada masa yang difikirkan sesuai untuk merujuk mengenai Titah Adendum kepada Lembaga Pengampunan yang akan dipengerusikan baginda.
“Setelah kes ni berlaku (timbul isu mengenai kewujudan Titah Adendum) tentu perkara ni dibangkitkan (dalam perbincangan bersama Sultan Ibrahim).
“Saya menghadap berulang kali tak pernah dibangkitkan (mengenai isu Titah Adendum), cuma kerana perkara ini terus dibangkitkan saya ada kemukakan untuk pertimbangan Yang di-Pertuan Agong sekarang (Sultan Ibrahim).
“(Saya kemukakan) untuk pada masa yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan untuk merujuk kepada mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong.
“Sebagai individu bertanggungjawab, saya lakukan (kemukakan mengenai isu Titah Adendum kepada Sultan Ibrahim), kerana sesiapa pun berhak diberi pertimbangan sama ada menilai soal cara dan kaedah hukuman dijatuhkan atau pertimbangan yang disebut sebagai ‘fountain of mercy’,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) mengenai langkah kerajaan bagi menamatkan sebarang pertikaian dan spekulasi mengenai Titah Adendum, selain perancangan Perdana Menteri selaku ketua kerajaan untuk menghadap Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyelesaikan kemelut ini.
Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan beliau adalah individu yang memohon supaya permohonan pengampunan Najib didengar Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ketika mesyuarat Lembaga Pengampunan yang dihadiri beliau pada 8 Disember 2023.
Perdana Menteri berkata, ia dibuat selepas mempertimbangkan kedudukan Najib sebagai bekas Perdana Menteri dan kemudian diperkenan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Serah kepada wewenang Sultan Ibrahim
Susulan itu, katanya, permohonan Najib didengar dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan itu, namun menegaskan tiada perbincangan mengenai Titah Addendum dibangkitkan ketika itu.
Mengulas lanjut perbincangan beliau mengenai Titah Adendum bersama Sultan Ibrahim, Anwar berkata perkara itu sekali lagi dibincangkan ketika beliau bersama baginda di Johor Bahru semalam.
“Baru semalam dalam perjumpaan di JB (Johor Bahru) perkara ini sekali dibincangkan kerana Tuanku Agong nak tahu perkembangan terkini… jadi kita serahkan wewenang Yang di-Pertuan Agong untuk untuk bawa (isu mengenai Titah Adendum) dalam mesyuarat (Lembaga Pengampunan) dan menimbang (isu berkaitan kewujudan Titah Adendum) dengan sebaiknya.
“Keputusan Lembaga Pengampunan akan mempertimbang semua perjalanan kes, hukuman dijatuhkan, sikap dalam penjara, khidmat dan jasa serta kepercayaan bahawa dia akan menyempurnakan tanggungjawab dengan baik… semua pertimbangan itu diberikan,” katanya.- 10/12/2024