Kementerian Komunikasi akan mengusahakan agar produk kraf penduduk Kampung Orang Asli Kelinsing, Sepang dijadikan cenderahati untuk perwakilan ASEAN yang menghadiri mesyuarat di pelbagai peringkat sepanjang tahun ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau bukan hanya mahu melihat produk kraf masyarakat Orang Asli diketengahkan kepada tetamu antarabangsa termasuk pelancong malah berharap juadah istimewa komuniti itu turut mendapat tumpuan.
“Ini yang saya harapkan (produk-produk kraf tempatan) dan bagi Kementerian Komunikasi, saya akan cuba untuk memperoleh sejumlah daripada produk kraf tangan Kampung Orang Asli Kelinsing dan sekitarnya.
“Kita jangka jumlah pelancong yang ramai dan saya harap ada dalam kalangan pelancong dapat menikmati juadah dan membeli produk kraf tangan dari kampung ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kampung Angkat Madani Kementerian Komunikasi di Kampung Orang Asli Kelinsing pada Sabtu.
Beliau berkata peluang untuk mempromosikan produk kraf dan makanan masyarakat itu perlu dimanfaatkan sepanjang tahun ini kerana Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada kira-kira 323 mesyuarat ASEAN di pelbagai peringkat.
Malaysia secara rasmi memegang jawatan Pengerusi ASEAN bermula 1 Jan 2025 dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ yang mencerminkan aspirasi negara untuk membentuk ASEAN yang bersatu dan makmur.
Sementara itu, Inisiatif Kampung Angkat Madani dapat membawa perubahan positif dan meningkatkan kualiti hidup penduduk desa menerusi kerjasama strategik pelbagai pihak, selain memastikan pembangunan yang seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.
Fahmi berkata semasa tinjauan awal pihaknya di Kampung Orang Asli Kelinsing, Sepang, Selangor, yang merupakan kampung angkat kementerian itu, mendapati kawasan tersebut tidak mempunyai dewan yang sesuai untuk membolehkan penduduk melaksanakan program pelancongan budaya dan tradisi serta aktiviti komuniti.
“Mengambil kira keadaan semasa di kampung dan matlamat keutamaan pelaksanaan program ini, Kementerian Komunikasi telah merancang lima skop projek, yang merangkumi pembinaan semula balai budaya; pembinaan semula kantin; pembinaan semula tandas awam; pembinaan baharu ruang niaga dan menaik taraf infrastruktur serta pelaksanaan program keceriaan di sekitar kampung,” katanya.
Manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebuah agensi di bawah Kementerian Komunikasi, turut bersetuju untuk membangunkan sebuah Pusat Sebaran Maklumat Nasional, atau lebih dikenali sebagai NADI.
Katanya pembinaan NADI di Kampung Kelinsing itu diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada aktiviti ekonomi serta meningkatkan literasi digital dalam kalangan penduduk Kampung Orang Asli Kelinsing khususnya dan masyarakat sekitar amnya, melalui perkhidmatan yang disediakan.
NADI berperanan untuk meningkatkan potensi dan kesejahteraan komuniti melalui program yang holistik dan mampan untuk merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosioekonomi komuniti dengan memperkenalkan lima teras perkhidmatan pintar iaitu keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kesedaran serta sebagai pusat untuk menyebarluaskan maklumat berkenaan inisiatif kerajaan yang terkini dan tepat.-12/1/2025