Berita baik diterima peminat bola sepak tanah air pada Ahad selepas kerajaan mengumumkan penambahan suntikan dana berjumlah RM15 juta dari pihak swasta bagi menggalakkan lagi perkembangan sukan itu.
Pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu menyaksikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menerima peruntukan sebanyak RM30 juta secara keseluruhan selepas peruntukkan turut diumumkan pada Belanjawan 2025.
“Peruntukan ini akan diguna bagi meningkatkan program-program pembangunan Harimau Malaya di setiap peringkat selain mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai.
“Dana ini juga akan dimanfaatkan FAM dalam aspek pengurusan organisasi yang mana ia memerlukan perubahan total dari setiap sudut bagi memastikan pemain kebangsaan mendapat sokongan yang berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik,” katanya dalam siaran di laman facebook rasminya.
Perdana Menteri turut menyatakan harapannya agar Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (TMJ), memberikan sokongan dalam memperkembangkan industri bola sepak.
“Pengetahuan Pemangku Sultan Johor yang mendalam mengenai pengurusan bola sepak serta hubungan dengan figura sukan dan kelab bola sepak antarabangsa adalah aset yang tidak ternilai yang dapat digunakan untuk menolong Harimau Malaya dan pasukan pengurusannya,” tambahnya.
Perdana Menteri juga menyeru rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada pasukan Harimau Malaya, termasuk pengurusan pasukan, untuk membawa nama negara ke peringkat tertinggi.
Suntikan tersebut sememangnya satu berita baik kerana ketika ini, skuad kebangsaan jauh ketinggalan berbanding negara lain sekitar Asia Tenggara, termasuk Indonesia dan Thailand yang sudah beberapa langkah di hadapan.
Jadi, bagi memastikan kemajuan dapat disaksikan, FAM sebagai badan induk bola sepak negara perlu menerima sejumlah wang bagi menampung kos dan perbelanjaan Harimau Malaya.
Selain dapat menaik taraf infrastruktur serta kemudahan, dana diterima itu boleh menarik lebih ramai pemain warisan yang berada di luar negara untuk beraksi buat skuad kebangsaan.-13/1/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK