
Lagi tertipu iklan pelaburan di facebook… rugi hampir RM1juta
Tertarik dengan keuntungan lumayan, seorang lelaki warga emas berputih mata apabila kerugian RM974,000 selepas ditipu sindiket pelaburan saham tidak wujud, bulan lalu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, mangsa yang berusia 67 tahun tertarik dengan iklan pelaburan saham ketika melayari laman Facebook pada 4 Disember lalu.
“Mangsa telah menekan pautan yang diberikan seorang wanita lalu dimasukkan ke dalam kumpulan sembang WhatsApp dan diminta untuk memuat turun satu aplikasi.
“Mangsa kemudian melakukan 16 transaksi pembayaran dalam talian ke tiga akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM974,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurut Zulkafli, mangsa menyedari ditipu selepas semakan dilakukan di Google mendapati pelaburan tersebut tidak wujud dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Sabtu.
“Orang ramai dinasihatkan untuk melakukan semakan sebarang bentuk tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tinggi.
“Semakan perlu dilakukan melalui Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia,” katanya.-13/1/2025



