TAHUKAH ANDA

Melindungi kumpulan rentan daripada scammer online

Bayangkan dalam tempoh hanya 24 jam pada 14 Januari 2025, kerugian mangsa scam dalam talian yang dilaporkan mencecah lebih RM12 juta.Tiga orang, dua dari Selangor dan seorang dari Johor, dua pesara dan seorang pengurus syarikat swasta.

Paling banyak jumlah kerugian pula adalah pesara jurutera berusia 63 tahun di Johor yang kehilangan simpanan persaraan sebanyak RM9.4 juta akibat penipuan pelaburan mata wang kripto.

Kes serupa turut berlaku di Selangor apabila seorang pengurus syarikat di Ampang Jaya kerugian RM1.63 juta akibat pelaburan mata wang tidak wujud yang diiklankan di Facebook.

Semua ini kisah benar dan disahkan oleh Ketua Polis Johor dan Selangor, fakta-fakta kes disiarkan oleh media berdasarkan kenyataan pihak berkuasa.

ORANG TUA MUDAH PERCAYA

Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM) warga emas menjadi mangsa penipuan dalam talian dengan jumlah kerugian mencecah RM552.5 juta antara 2021 hingga 2023.

Daripada 5,533 mangsa warga emas, hampir 47.6% terjerat dalam jenayah telekomunikasi seperti penipuan telefon dan penyamaran dalam talian.

Setakat 19 Mei 2024, warga emas mencatatkan kerugian RM130.4 juta, iaitu 27.7% daripada kerugian keseluruhan RM471.5 juta. Jenayah telekomunikasi terus menjadi ancaman utama dengan kerugian RM253.9 juta sejak 2021.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf menyatakan kebanyakan warga emas menjadi mangsa kerana kurang pengetahuan digital dan mudah terpedaya dengan sindiket yang menyamar sebagai pihak berkuasa.

Beliau menggesa masyarakat menyampaikan maklumat pencegahan jenayah kepada golongan tersebut bagi membentuk komuniti lebih berwaspada.

Dalam dunia yang semakin digital, ancaman siber terus berkembang dengan pantas, mencabar keselamatan pengguna di pelbagai peringkat.

Walaupun kempen kesedaran telah dijalankan secara meluas, ramai masih terperangkap dalam penipuan yang merugikan.

Kejadian terkini menunjukkan betapa mendesaknya perlindungan yang lebih berkesan bagi kumpulan rentan seperti pesara dan wanita.

KUATKUASAKAN LESEN MEDIA SOSIAL

Bagi mengekang penipuan dalam talian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (ASP (C)), yang mewajibkan platform media sosial mendaftar untuk beroperasi secara sah di negara ini.

Langkah ini bertujuan memastikan kawalan ke atas kandungan dan aktiviti di platform digital.

Setakat ini, platform seperti Tencent (WeChat) dan ByteDance (TikTok) telah mematuhi peraturan ini, manakala Meta dan Telegram sedang dalam proses mendapatkan lesen masing-masing.

Namun, X (sebelumnya Twitter) dan Google masih belum mengemukakan permohonan. Kerajaan terus menilai status setiap platform untuk memastikan mereka mematuhi undang-undang.

Kerajaan turut memberi tumpuan khusus kepada perlindungan kanak-kanak serta kumpulan rentan yang sering menjadi mangsa penipuan dan buli siber.

Ancaman seperti ini bukan sahaja merugikan ekonomi individu tetapi turut menjejaskan kesejahteraan mental dan fizikal mangsa.

Dengan pelaksanaan lesen ASP (C), platform media sosial diwajibkan mematuhi undang-undang bagi mengawal penyebaran maklumat palsu dan penipuan.

Langkah ini bukan bertujuan menyekat kebebasan bersuara tetapi memastikan persekitaran digital yang lebih selamat dan terkawal.

Langkah proaktif kerajaan dan penguatkuasaan peraturan yang lebih ketat diharapkan dapat menjadikan persekitaran digital Malaysia lebih selamat.

MCMC akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap platform yang gagal mematuhi peraturan.

Melalui usaha berterusan ini, dunia digital di Malaysia diharap menjadi ruang yang lebih selamat, kondusif, dan melindungi rakyat daripada ancaman siber yang semakin meningkat.

Keselamatan siber bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi juga memerlukan kerjasama semua pihak untuk membina ekosistem digital yang sihat dan selamat.-15/1/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button