Wednesday - 5, February 2025

Mata wang kripto… Malaysia perlu cepat

Share

Kerajaan sedang mempertimbang untuk merangka dasar mengenai kewangan digital, memungkinkan Malaysia melihat keperluan untuk mengiktiraf penggunaan mata wang kripto kewujudan teknologi blockchain di negara ini.

Rentetan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan gergasi teknologi mata wang kripto serta blockchain iaitu Binance, untuk mengkaji kaedah dalam usaha merealisasikan idea berkenaan.

“Kita berbincang mengenai transformasi digital, pusat data dan kecerdasan buatan (AI). Kini kita menghadapi permintaan yang memerlukan kita untuk berfikir mengenai membuat perubahan besar.

“Saya sudah berbincang dengan kepemimpinan Abu Dhabi dan Changpeng Zhao, pengasas bersama platform mata wang kripto terbesar di dunia, Binance.

“Saya mencadangkan beberapa bulan lalu bagaimana agensi-agensi kita, termasuk keselamatan, perbendaharaan dan Bank Negara untuk mengkaji bagaimana Malaysia boleh meneroka bidang ini supaya kita tidak ketinggalan.

“Kita perlu memastikan perkara ini dikawal selia boleh melindungi kepentingan rakyat dan mencegah kebocoran,” katanya.

Mengenai langkah itu, Perdana Menteri berkata, beliau akan membawa perkara itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Memberi contoh UAE yang kini menjadi peneraju dalam bidang itu, beliau tidak mahu Malaysia ketinggalan.

“Namun, inovasi ini adalah seperti AI, yang akan mengubah dunia kewangan. Kita tidak seharusnya duduk diam menunggu dan kemudian dipaksa untuk melakukannya selepas pihak lain sudah melakukannya.

“Pemimpin mereka (UAE) merasakan bahawa mereka boleh menjalinkan kerjasama rapat dengan Malaysia dalam isu ini. Kita perlu bincangkan perkara ini dengan lebih terperinci, meninggalkan model perniagaan lama dan memberi makna kepada dasar kewangan digital ini.

“Kita berbincang panjang lebar mengenai Fintech. Tetapi apabila sesuatu yang baharu muncul, kita menjadi gelisah.

“Jadi saya berharap kita boleh lebih terbuka terhadap perkara ini. Saya cenderung untuk bukan sahaja meluluskan tetapi juga mempercepatkan perkara ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia tidak akan bermula dari kosong, sebaliknya akan bekerjasama dengan menggembleng pengalaman pihak lain termasuk Binance dan UAE.

“Ini adalah satu evolusi yang berlaku dengan pantas dan memerlukan kita untuk bergerak pantas juga. Kita merasakan Malaysia tidak seharusnya ketinggalan dengan terperangkap dalam sistem kewangan lama,” katanya.

Ditanya bila dasar berkenaan dijangka dilaksanakan, Anwar berkata, ia memerlukan kajian komprehensif daripada Jabatan Perbendaharaan, Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Beliau berkata, satu kertas kerja akan disediakan dan dibentangkan kepada Kabinet untuk mendapatkan kelulusan secepat mungkin.

“Seperti semua idea baharu yang dibangkitkan, pasti ada beberapa kebimbangan. Ini kerana kita perlu melatih kakitangan, membina kecekapan dan mendapatkan pemain untuk turut serta.

“Yang penting ialah kita mempunyai hubungan yang sangat baik dengan UAE. Kita beritahu mereka akan bergerak ke depan dalam hal ini dengan syarat perlu bekerjasama sebagai rakan kongsi untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

“Ini akan menjadi perubahan radikal daripada cara lama,” katanya.-15/1/2025

Read more

khabar terbaru