Wednesday - 5, February 2025

Apa lagi andaian…kalau Menteri kata gag order pasal Titah Adendum bukan arahan kabinet

Share

Polimek mengenainya pasti akan berterusan…namun kesimpulan sudah dapat dibuat bahawa gag order melarang sesiapa sahaja membincangkan isu berkaitan kes Titah Adendum adalah langkah tersendiri Jabatan Peguam Negara (AGC).

Apa lagi andaian yang ada jika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berpendapat permohonan gag order itu tidak sepatutnya dibuat manakala Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kata Jemaah Menteri tidak pernah mengarahkan AGC untuk memfailkan permohonan perintah gag order itu.

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan beritahu isu tersebut juga tidak dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof, pagi Rabu.

“Tak dibincangkan (dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini). Kabinet juga tak mengarahkan Jabatan Peguam Negara (fail permohonan gag order),” katanya ringkas.

Isnin lalu, kerajaan dilapor akan memfailkan permohonan perintah larangan bersuara atau gag order untuk melarang sesiapa sahaja daripada membincangkan isu berkaitan kes permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak, berhubung dakwaannya mengenai kewujudan dokumen tambahan yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan di rumah.

Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan dan enam lagi responden berkata permohonan itu dibuat kerana kes tersebut menyentuh isu sensitif.

Berikutan itu banyak pihak yang mempersoalkan keperluan perintah larangan berkenaan.

Naib Presiden MCA, Lawrence Low misalnya menyifatkan tindakan itu sebagai langkah ke belakang dan mencalar imej kerajaan yang sebelum ini lantang memperjuangkan ketelusan dan keterbukaan.

“Isu titah adendum sudah menjadi pengetahuan umum dan melibatkan kepentingan awam, keadilan kehakiman, dan integriti kerajaan. Usaha memohon larangan ini memberi gambaran seolah-olah kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu di sebalik alasan ‘isu sensitif’,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa berkata, ia bukan sahaja melanggar prinsip demokrasi bahkan bertentangan dengan hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan selain menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib pula membantah permohonan berkenaan kerana ia membabitkan berkepentingan awam dan sudah menjadi topik perbincangan hangat termasuk di Parlimen.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, pula berpandangan permohonan pasukan pendakwaan itu kurang wajar diteruskan kerana persoalan pokok kes semakan kehakiman yang bakal didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur nanti.

Persoalan utama yang bakal dibangkitkan di mahkamah nanti adalah bagi menentukan sama ada Titah Adendum yang dihantar Yang di-Pertuan Agong ke-16 kepada Peguam Negara pada 29 Januari 2024, tulen dan sah atau tidak untuk digunakan.

Jika dokumen berkenaan tulen, maka mahkamah tinggi perlu menentukan sama ada Titah Adendum berkenaan boleh dilaksanakan atau tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan atau boleh diketepikan begitu.

Ini kerana isu kewujudan Titah Adendum sudah terungkai apabila mahkamah rayuan mengesahkan surat berkenaan wujud dan memerintahkan semakan kehakiman didengar atas merit di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Azalina Othman Said yang pada pandangan peribadinya tidak bersetuju dengan permohonan AGC kata pertama, kes itu akan menjadi domain awam.

“Kedua, parlimen akan bersidang bulan depan. Jadi semua ini akan timbul semula.”

Namun, menteri itu percaya, AGC mempunyai alasan tersendiri untuk memohon larangan tersebut, dan menekankan badan kehakiman mesti dibenarkan bertindak bebas dalam hal berkenaan.

“Untuk berlaku adil, saya fikir AGC mempunyai alasan undang-undang sendiri, dan mereka memfailkan permohonan rasmi (larangan bersuara).

“Apabila (permohonan itu) dihantar kepada mahkamah, kita serah kepada mahkamah untuk membuat keputusan dan kita hormati keputusan itu.

“Jadi, biarlah mahkamah buat keputusan,” katanya.- 15/1/2025

Read more

khabar terbaru