Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang berurusan dengan laman pencarian kerja terkemuka LinkedIn berhubung aduan penipuan (job scam).
LinkedIn yang dimiliki oleh Microsoft sebelum ini dikecualikan daripada memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan (ASP) kerana tidak memiliki pengguna berdaftar melebihi lapan juta seperti yang disyaratkan.
Bagaimanapun, kata Fahmi, perbincangan lanjut sedang dijalankan bersama Microsoft, susulan laporan menunjukkan pangkalan pengguna Malaysia platform itu boleh melebihi lapan juta dalam suku pertama 2025.
“Kami telah menghubungi Microsoft kerana LinkedIn menganggarkan pangkalan pengguna mereka akan melepas tahap ambang.
“Selain itu, kami telah menerima aduan mengenai penipuan pekerjaan (job scam) di LinkedIn dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat berurusan dengan mereka bagi menangani kebimbangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temubual bicara RTM On The Table yang menampilkan topik ‘Social Media Licensing in Malaysia: Key Insights & Impact’.
Fahmi turut menekankan komitmen kerajaan untuk menguatkuasakan pelesenan bagi platform-platform yang melebihi ambang pengguna ditetapkan, sambil mengimbangi peraturan dengan kebebasan bersuara dan memastikan keselamatan dalam talian.
“Isu ini bukan mengenai kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Ini mengenai keselamatan dalam talian. Ia tentang memastikan di samping kita mempunyai akses internet mudah alih yang lebih murah, lebih pantas, kita juga mahukan internet yang lebih selamat, terutamanya untuk kanak-kanak dan keluarga kita,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Fahmi memaklumkan, gergasi media sosial Meta kini dalam peringkat akhir mendapatkan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan.
Beliau berkata syarikat induk Facebook dan Instagram itu sedang menyiapkan dokumentasi untuk memenuhi keperluan perundangan khas sebagai sebahagian daripada proses pelesenan itu.
Fahmi berkata penyedia platform lain seperti Google dan X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) sedang melalui penilaian bagi memastikan status pematuhan mereka.
Beliau berkata Google bagaimanapun mendakwa mereka bukan platform media sosial namun kementerian tetap dengan pendirian bahawa beberapa bahagian YouTube di bawah Google seperti YouTube Shorts berfungsi seperti media sosial, menyerupai TikTok.
“Sementara X mendakwa mereka mempunyai kurang daripada lapan juta pengguna di Malaysia, yang mengecualikan mereka daripada keperluan pelesenan…kini, kami sedang menyiasat dakwaan ini dan meneruskan libat urus bagi memastikan kesemua platform mematuhi garis panduan tersebut,” katanya.-17/1/2025 OLEH AHMAD SAUQI ABDUL RAZAK