Sebelum ini ‘lori kepala merah’ menjadi petunjuk untuk penghantar barang atau saudara-mara sampai ke rumah Kamsiah Abdul Rahim di Kampung Guan, Kuala Linggi, tetapi dengan penggunaan kod respons pantas (QR) di bawah inisiatif Kampung Digital Melaka pencarian kediaman itu kini lebih mudah.
Kamsiah, 67, yang tinggal di kampung itu sejak lahir, berkata penggunaan kod QR tersebut bukan sahaja memudahkan penghantaran barang malah dia atau ahli keluarga lain tidak perlu menunggu penghantar barang yang sesat atau tidak menjumpai lokasi rumahnya di jalan utama.
“Lori kepala merah milik keluarga kami ini sudah lama tidak digunakan dan ia sering menjadi petunjuk untuk penghantar barang, rakan kepada anak-anak atau saudara-mara yang ingin berkunjung ke rumah.
“Alhamdulillah, dengan adanya sistem QR di bawah inisiatif Kampung Digital Melaka ini ia memudahkan pencarian lokasi rumah saya kerana kini saya hanya perlu berkongsi kod tersebut,” katanya.
Bernama melaporkan Kamsiah berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sesi Penyerahan Pelekat Alamat Rumah beserta Kod QR kepada penduduk Kampung Guan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi Datuk Rosli Abdullah.
Seorang lagi penduduk, Esah Muhammad, 74, yang tinggal seorang diri turut berkongsi keterujaan untuk menggunakan kemudahan itu.
“Walaupun kemudahan ini benda baharu dan canggih untuk saya yang telah berusia ini, ia bukan halangan kerana penggunaannya tidak susah.
“Selepas ini, saya tidak perlu risau sekiranya ada pihak yang minta lokasi rumah saya, hanya guna telefon bimbit sahaja. Mudah dan cepat,” katanya.
Sementara itu, Fairul Nizam berkata 175 rumah dalam Kampung Guan akan menerima pelekat alamat beserta kod QR di bawah inisiatif Kampung Digital Melaka dan kampung tersebut merupakan yang pertama terpilih bagi pelaksanaan inisiatif itu.
Beliau berkata secara keseluruhan 28 kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi terlibat dalam pelaksanaan inisiatif itu.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pembiayaan dana sebanyak RM3.37 juta bagi pembangunan Kampung Digital Melaka itu membuktikan komitmen kerajaan menyokong penuh usaha transformasi 623 kampung tradisional di negeri berkenaan.
Fahmi berkata kementerian menerusi MCMC terbuka membantu kerajaan negeri sekali gus merealisasikan visi negara memastikan setiap kediaman mempunyai alamat lengkap dan seragam.
Di bawah inisiatif itu, setiap rumah penduduk akan mempunyai nombor sendiri yang dilihat lebih sistematik selain disertakan dengan kod QR dan projek itu telah menerima pengiktirafan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta cap dagangan logo, menjadikannya model kampung digital di negara ini.-17/1/2025