Wednesday - 5, February 2025

RM700 juta diluluskan… 4,000 penjawat awam jadi mangsa sindiket penipuan pinjaman

Share

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan beberapa agensi kerajaan lagi mengempur satu kartel pinjaman kewangan yang telah memperdaya lebih 4,000 penjawat awam.

Lebih memeranjatkan adalah kartel tersebut didalangi pegawai bank di beberapa institusi kewangan negara, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam perkembangan terkini siasatan kes itu pada 17 Januari, SPRM telah merampas 4,000 dokumen bagi membantu siasatan sindiket selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan syarikat perunding kewangan bersama pegawai bank di beberapa institusi kewangan.

Siasatan menunjukkan selepas pinjaman diluluskan, peminjam akan membayar balik wang pendahuluan daripada sindiket, manakala baki pinjaman dilaburkan dalam skim pelaburan.

Difahamkan, ramai menjadi mangsa dan terpedaya dengan kegiatan itu selepas sindiket dikatakan masuk ke kementerian dan jabatan awam di seluruh negara dengan berselindung di sebalik agensi kewangan yang membantu menguruskan kewangan.

Sindiket menjayakan jelajah ke jabatan kerajaan dan mempamerkan diri sebagai agensi bantuan kewangan yang boleh membantu penjawat awam yang mempunyai pinjaman atau hutang lapuk.

Mereka juga dikatakan menjadikan media sosial sebagai medan utama untuk menarik ramai mangsa yang akan terpedaya dengan janji sindiket yang mendakwa mampu menyelesaikan masalah kewangan mereka.

“Sindiket menjadikan platform media sosial sebagai medan untuk memburu mangsa dengan menawarkan khidmat bantuan perunding kewangan, malah akan mengadakan jelajah di jabatan serta kementerian awam untuk menarik penjawat awam.

“Setakat ini, pihak berkuasa mengesan ribuan mangsa adalah penjawat awam,” kata sumber.

Pada 14 Januari, SPRM menumpaskan sindiket menjalankan kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram bagi membolehkan penjawat awam yang mempunyai hutang lapuk mendapatkan pinjaman peribadi di institusi perbankan tempatan.

Menerusi serbuan di 24 tempat melalui Ops Sky yang dijalankan di kediaman dan pejabat sekitar Lembah Klang, seramai 12 individu ditahan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata berdasarkan siasatan awal, SPRM percaya terdapat pegawai di beberapa institusi perbankan yang menerima rasuah daripada pegawai syarikat perunding kewangan sebagai balasan membantu memproses dan meluluskan pinjaman peribadi pelanggan yang dikenal pasti mempunyai hutang lapuk.

Mereka yang ditahan termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, selain pengarah yayasan, pengurus dan bekas pengurus jualan institusi perbankan.

Dalam serbuan Op Sky itu, SPRM turut membekukan 70 akaun syarikat dan individu membabitkan nilai lebih RM16.2 juta selain sitaan sembilan unit kenderaan pelbagai jenama terdiri daripada Ferrari F8 Spider, Lexus RC300, Mercedes-Benz GLC43, BMW, Toyota Alphard, Mazda serta Honda.

Operasi turut menyita wang tunai lebih RM300,000 selain mata wang Hong Kong (HKD) 95,000 serta 17 utas jam tangan mewah dianggarkan berjumlah lebih RM11.1 juta.

Sejak 2020, syarikat perunding mendapat keuntungan yang diperoleh daripada yuran perkhidmatan, yuran penyelesaian hutang lapuk dan skim pelaburan daripada peminjam yang dibuat melalui pembiayaan peribadi pelbagai bank secara serentak.

Syarikat tersebut dipercayai akan membantu menyediakan dokumen yang mengandungi maklumat palsu, seterusnya akan dihantar ke beberapa institusi kewangan untuk mendapatkan pinjaman.

Siasatan SPRM juga mengesan syarikat menggunakan hasil haram itu untuk membeli aset, hartanah dan kenderaan mewah untuk kepentingan peribadi.-17/1/2025

Read more

khabar terbaru