
Usaha Kementerian Komunikasi tingkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara menerusi jaringan internet
Jaringan internet bukanlah setakat kemudahan untuk layari laman web,media sosial dan berkomunikasi menerusi telefon bimbit.
Mungkin ramai tidak sedar bagaimana ia antara lain boleh bantu meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara.
Dibawah usaha ini Kementerian Komunikasi lancar Program Rintis Future Health For All (FH4A).
Program Rintis FH4A diperkenalkan sebagai inisiatif strategik yang bertujuan untuk mengaplikasikan teknologi terkini bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan negara.
Selain itu, ia juga dilaksanakan untuk memastikan keterangkuman dan kesaksamaan akses kepada manfaat teknologi kesihatan masa hadapan rakyat.
Menteri berkenaan Fahmi Fadzil melancarkan program itu di Lembah Pantai pada Sabtu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan membuat promosi program berkenaan di 20 lokasi di enam buah negeri.
Fahmi dalam ucapannya di majlis itu kata MCMC dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha memanfaat dan merealisasikan potensi penuh rangkaian 5G bagi memperkasakan sektor penjagaan kesihatan.
Beliau memberitahu setakat Disember 2024, liputan rangkaian 5G di Malaysia telah mencapai 82.4 peratus di kawasan berpenduduk.
Perkembangan tersebut menjadikan Malaysia antara negara terpantas di dunia yang memperluas akses komunikasi dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada masa sama, Fahmi berkata, kadar penembusan akses 5G dalam kalangan rakyat telah mencatat peningkatan positif.
Jelasnya, pada Oktober 2023, kadar penembusan akses 5G hanya pada 10.8 peratus, namun dalam tempoh setahun, kadar tersebut melonjak hampir lima kali ganda kepada 53.35 peratus setakat Disember 2024.
“Dengan adanya ketersambungan yang meluas, penembusan akses 5G dapat melengkapkan keupayaan untuk penjagaan kesihatan kendiri dalam kalangan rakyat.
Fahmi memberitahu, Malaysia sedang berhadapan dengan kadar penyakit tidak berjangkit (NCD) yang tinggi, dengan RM9.65 bilion daripada perbelanjaan kesihatan negara telah digunakan untuk merawatnya.
Jelas beliau, kesan daripada NCD turut membawa kepada kerugian besar terhadap ekonomi negara, dengan kehilangan produktiviti yang dianggarkan sebanyak RM12.88 bilion pada tahun 2017.
“Tahap literasi kesihatan dalam kalangan rakyat juga pada tahap yang kurang memberangsangkan.
“NHMS mendapati, kadar literasi kesihatan di Malaysia iaitu keupayaan untuk memahami dan mengakses maklumat bagi mengekalkan tahap kesihatan tidak menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari tahun 2019 hingga 2023,” katanya.- 18/1/2025